Rahm pimpin Terbuka Farmers Insurance

68

PEMAIN Sepanyol, Jon Rahm muncul pendahulu hari pertama Kejohanan Golf Terbuka Farmers Insurance selepas membenam dua eagle pada sembilan lubang pertama bagi merekodkan 10 bawah par 62 di Lapangan Golf Torrey Pines di La Jolla, California, Amerika Syarikat semalam.

Rahm mendahului satu pukulan di hadapan pemain nombor satu dunia, Justin Rose dan pemain Amerika Syarikat, Doug Ghim selepas mereka mencatatkan sembilan bawah par 63.

“Bagi saya, banyak perkara yang menggembirakan berlaku di sini, jadi saya rasa saya akan bermain dengan baik apabila melakukan pukulan tee,” kata Rahm.

Sementara itu, pemain Taiwan, CT Pan berada di kedudukan keempat selepas mencatatkan 64 pukulan manakala Jordan Spieth di tempat kelima dengan tujuh bawah par 65.

Rahm bermula dengan eagle di kedua-dua par lima dan sembilan termasuklah di lubang pembukaan.

“Di sini berkemungkinan adalah kawasan kegemaran saya. Jika anda mengambil kira bandar ini dan juga suasana di sekitar Torrey Pines, ini adalah lapangan golf dan kejohanan golf kegemaran saya,” jelas Rahm.

Terbuka Farmers Insurance kali ini juga mendapat perhatian apabila bekas pemain nombor satu dunia, Tiger Woods tampil buat julung-julung kalinya.

Woods yang juga juara 14 kali major berjaya melakukan birdie pada lubang terakhir untuk mencatatkan keseluruhan 70 pukulan. Dia ketinggalan lapan pukulan di belakang Rahm apabila turut mencatatkan tiga bogey dan 10 par untuk berkongsi di kedudukan ke-53.

Komen anda