Rajagobal akui pertahanan Red Ants bermasalah

132
Pemain PKNS, Kpah Sean Sherman (kiri) cuba mengawal bola dari pemain TFC, Nasrullah Haniff Johan pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam.

KETUA Jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal nyata berang prestasi dipamerkan pemain The Red Ants ketika tewas 1-2 semasa melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam semalam.

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu berkata, pemain gagal mencipta peluang menjaringkan gol dan kekurangan kesungguhan pada separuh masa pertama, tetapi memperbaiki permainan mereka pada separuh kedua perlawanan.

“Saya gembira babak kedua kerana mereka (pemain) lebih banyak berusaha dan bertenaga untuk menjaringkan gol. Bagi saya, kita seharusnya menamatkan permainan dengan mudah setelah mendapat beberapa peluang tetapi jelas mereka melepaskannya, dan sebaliknya memberi gol yang mudah pada minit akhir perlawanan kepada pihak lawan, “katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Pada masa yang sama, Rajagobal mengakui bahawa dia perlu mengatasi masalah di garis belakang pasukan yang lemah yang mengakibatkan gawang dibolosi 16 kali dalam tujuh perlawanan terakhir.

Oleh itu, beliau menggesa pasukannya untuk bangkit semula dan menjamin keputusan positif dalam tiga perlawanan liga terakhir menentang Pahang, Melaka dan Selangor untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam jadual kedudukan.

 

Pemain TFC, Adib Aizuddin Ab Latiff diasak pemain PKNS ketika aksi di Shah Alam.

Nafuzi puas hati komitmen pemain TFC

Dalam pada itu, pengendali TFC, Mohd Nafuzi Mohd Zain berpuashati tiga mata berkenaan setelah gagal mencatat kemenangan menentang PKNS dalam saingan liga sebelum ini.

“Pemain bekerja keras untuk mencatat kemenangan ini dan sebelum perlawanan, tiada siapa percaya kita mampu menewaskan PKNS namun saya percaya dengan kemampuan pemain saya kerana mereka bermain mengikut arahan,” katanya.

Pada aksi di Shah Alam, pemain import dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov meletakkan TFC di depan pada minit ke-34, sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan minit ke-83 menerusi pemain import dari Thailand, Kittiphong Pluemjai.

Skuad Penyu bagaimanapun berjaya mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan Nasrullah Haniff Johan, selang empat minit kemudian.

Kemenangan tersebut menyaksikan TFC naik satu anak tangga ke kedudukan keenam dengan kutipan 27 mata, manakala PKNS FC kekal di tangga kelapan menerusi pungutan 20 mata daripada 19 perlawanan setakat ini.

Komen anda