Rashford mampu tandingi Kane

416

PENGURUS sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan Marcus Rashford mampu menjadi penyerang utama sama seperti kapten England Tottenham Hotspur, Harry Kane.

Rakan sepasukan England itu berada di sisi yang bertentangan di Wembley pada pertemuan Isnin ini apabila Spurs berhajat untuk mengakhiri permulaan cemerlang Solskjaer sejak bertugas bersama The Reds di Old Trafford dengan melakarkan kesemua lima perlawanan yang diharungi.

"Kita boleh bercakap mengenai Harry Kane dan kelasnya, bagaimanapun saya lihat Marcus juga memiliki potensi untuk bangkit di sana juga," kata pengendali kelahiran Norway itu.

Malah Solskjaer optimis, Rashford masih berpeluang untuk setanding dengan Kane apabila mereka kini merupakan penjaring terbanyak bersama dalam Liga Perdana dan telah memenangi Golden Boot dua kali.

"Dia mempunyai kelajuan yang luar biasa, kini dia lebih kuat dan dapat memegang bola. Bekerja dengan pemain seperti dirinya sangat menarik," tambah bekas penyerang United itu.

Rashford telah menjaringkan tujuh gol musim ini sekali gus meletakkan dirinya dikedudukan keempat dalam senarai penyerang tertinggi United, di belakang Romelu Lukaku, Anthony Martial dan Paul Pogba.

Sementara itu, khidmat Rashford mula bersinar sejak Solskjaer mengendalikan Manchester United apabila pemain berusia 21 tahun itu diletakkan sebagai penyerang utama dan telah menjaringkan tiga gol dan satu bantuan gol berbanding empat kali dia menjaringkan gol dalam 22 perlawanan sebelum ini di bawah kendalian Jose Mourinho.

Komen anda