Rashid kekal rebut kerusi presiden KLFA

873

TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mengekalkan hasratnya untuk terus bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) meskipun jumlah pencalonannya dikatakan tidak mengcukupi sebagaimana ditetapkan dalam statut perlembagaan badan induk bolasepak itu.

Sebaliknya, Rashid menyifatkan jumlah 12 pencalonan yang diterimanya sudah memenuhi sebagaimana statut perlembangaan untuk bertanding bagi jawatan Presiden pada Kongres KLFA yang dijadualkan berlangsung pada 18 November ini.

Rahsid memaklumkan KLFA mempunya lebih 60 ahli kelab gabungan namun hanya 31 daripadanya yang layak untuk memberikan pencalonan dan mengikut staut perlembagaannya untuk melayakkan seseorang calon bertanding kerusi presiden, dia perlu mendapatkan 40 peratus pencalonan daripada ahli gabungan.

"Jadi 40 peratus daripada jumlah pencalonan itu bersamaan dengan 12.4 di mana saya mendapat 12 pencalonan dan itu sudah dikira mencukupi sebagaimana statut KLFA.

"Maka dengan itu saya mempunyai jumlah pencalonan yang sangat mencukupi untuk bertanding sebagai presiden KLFA pada 18 November nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Bolasepak Victoria Institution (VI) Mighty 7 bersempena sambutan ulangtahun ke-125 tahun sekolah berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Kelab Bolasepak VI, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kuala Lumpur yang juga bekas pemain kebangsaan, Datuk Ramlan Askolani.

Mengulas lanjut, Rashid mengharapkan jawatankuasa penganjur dapat melaksanakan tugas mereka sebagaimana statut perlembagaan KLFA dan menyelesaikan apa jua isu berbangkit yang timbul dengan baik.

Katanya, dalam perbincangan yang diadakan bersama ahli kelab gabungan sebelum ini pihaknya mendapat lebih banyak pencalonan berbanding yang diumumkan dan kebanyakkan ahli telah menyerahkan borang-borang pencalonan mereka.

"Apabila mereka (ahli gabungan) serah borang berkenaan, dalam mana-mana prosedur sistem pencalonan, borang berkenaan tidak boleh dibuka sehingga pada tarikh yang ditetapkan (5 November)…saya pecaya bahawa ada 16 kelab telah mencalonkan saya dan saya mempunyai bukti berdokumen mengenai ini, saya hairan macamana hanya ada 12 kelab yang diumumkan oleh KLFA.

"Jadi satu badan bebas perlu ada untuk menguruskan pertandingan jawatan dalam KLFA , sekarang ini apa yang terjadi semua pencalonan boleh diuruskan oleh kakitangan KLFA dan difahamkan ada campur tangan ahli jawatankuasa persatuan dan jurulatih dalam urusan borang pencalonan dan saya ada bukti-bukti ini," jelasnya.

Kemelut perebuatan kerusi Presiden KLFA mula berputik apabila penyandangnya Datuk Seri Adnan Md Ikhsan sah mengekalkan jawatan itu bagi penggal 2018-2022 setelah memperolehi 18 pencalonan berbanding Rahsid yang dikatakan tidak menerima pencalonan mengcukupi untuk bertanding dengan hanya menerima 12 pencalonan.

Komen anda