The Reds tak bernasib baik

107

KEGAGALAN menjulang Perisai Komuniti tidak mengecewakan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp yang menyifatkan The Reds hanya tidak bernasib baik.

Malah, Klopp memuji persembahan dipamerkan barisan pemainnya yang tampil cemerlang terutama pada babak kedua sehingga berjaya memadam jaringan awal penyerang City, Raheem Sterling.

“Para pemain menunjukkan persembahan yang baik terutama pada babak kedua. Kedua-dua pasukan memiliki peluang dan keupayaan yang sama rata dan yang membezakan hanyalah nasib.

“Saya tidak kecewa, malah berbangga dengan apa yang ditunjukkan para pemain terutama ketika mengasak City untuk mencari gol penyamaan,” katanya.

Liverpool berjaya mengheret aksi sehingga penentuan sepakan penalti selepas pemain pertahanan, Joel Matip menyamakan kedudukan pada minit ke-77.

Secara statistik, Liverpool mendominasi perlawanan dengan mencatatkan 52 peratus penguasaan bola selain merekodkan 17 percubaan ke gawang The Citizen.

Klopp berkata, apa yang mahu dilihatnya pada perlawanan itu bukanlah kemenangan, sebaliknya kemampuan barisan pemainnya untuk menyaingi City yang merupakan antara calon pemenang Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

“Bagi saya, Liverpool dan City seri dan sama kuat. Persembahan kami hari ini jauh lebih penting daripada kemenangan. Kami tahu kami masih mampu bersaing musim ini,” katanya.

Komen anda