Rins lebur impian Marquez

140
SEJARAH baharu tercipta pada perlumbaan MotoGP Amerika Syarikat di Circuit of the Americas (COTA), Austin, awal pagi semalam apabila pelumba Suzuki, Alex Rins dimahkotakan sebagai juara.
Kejayaan pelumba kelahiran Sepanyol itu sekali gus meleburkan impian juara dunia yang digelar ‘Raja COTA’, Marc Marquez untuk menawan GP Amerika Syarikat buat kali ketujuh berturut-turut.
Lebih manis, ia merupakan kejayaan pertama Rins dalam MotoGP dan yang pertama buat Suzuki bagi kelas perdana itu sejak Maverick Vinales muncul juara GP Britain 2016.
Sebagai rekod, Rins pernah menjuarai GP Amerika Syarikat di Austin dalam kelas Moto2 pada musim 2015 selepas muncul juara Moto3 dua tahun sebelum itu.
Malang pula menimpa Marquez apabila gagal menyambar podium utama selepas mengalami kemalangan sehingga mengakibatkan dia terjatuh pada pusingan kesembilan.
Rins mengesahkan kejuaraan GP Amerika Syarikat selepas merekodkan masa 41:45.499 saat (s) untuk meninggalkan legenda Yamaha, Valentino Rossi di tempat kedua dan pelumba Ducati, James Miller di tempat ketiga.
“Kejayaan ini luar biasa! Saya cukup gembira dengan kejayaan ini. Saya bagaikan hilang kata-kata kerana berjaya menewaskan Valentino, saya seperti tidak percaya.
“Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kru pasukan Suzuki, semua pihak di Jepun dan semua orang yang berada di sekeliling saya,” kata Rins.
Pada perlumbaan itu, Marquez yang bermula di petak pertama berjaya memimpin saingan sebelum tiba-tiba jentera yang ditunggangnya terjatuh pada pusingan kesembilan.
Rossi kemudiannya mengetuai saingan sebelum Rins  memintas bekas juara dunia itu ketika perlumbaan berbaki empat pusingan.

Komen anda