Roelant panggil empat pemain muda

172

KETUA Jurulatih Malaysian Tigers, Roelant Oltmans telah menyenaraikan empat pemain muda untuk menyertai kem latihan skuad berkenaan bermula 10 hingga 16 Mac ini di Kuantan, Pahang.

Menurut senarai itu, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Arif Syafie Ishak, Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal adalah antara 28 pemain yang dipanggil oleh jurulatih berasal dari Belanda itu.

Senarai yang dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) itu, turut menyaksikan pemain pertahanan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang meninggalkan skuad ‘Malaysian Tigers’ sebulan sebelum Sukan Asia 2018, turut berjaya menarik perhatian Roelant.

Latihan selama seminggu itu dilihat sebagai medan persiapan dan membina keserasian di antara pemain menjelang Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh bermula 23 hingga 30 Mac dan Siri Akhir FIH 2019 bermula 26 April hingga 4 Mei di Stadium Hoki Nasional di sini.

“Sebagai persediaan untuk memastikan sasaran yang diletakkan oleh KHM iaitu melangkah ke final Piala Sultan Azlan Shah 2019 dicapai, kem latihan itu turut menampilkan pakar pukulan sudut penalti dunia, Taeke Taekema dari Belanda.

“Beliau akan menurunkan ilmunya bagi membantu mempertajamkan lagi pukulan sudut penalti negara agar penyudahan tepat di hadapan pintu gol dapat dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, tiga penjaga gol skuad berkenaan, S. Kumar, Muhammad Hairi Abd Rahman dan Muhammad Hafizuddin Othaman turut berpeluang untuk berguru dengan jurulatih penjaga gol antarabangsa, Martin Drijver.

Skuad kebangsaan dijangka berlepas ke Ipoh pada 18 Mac bagi menghadapi kejohanan antarabangsa pertama bagi musim ini, selepas kem latihan itu dan kem latihan motivasi berakhir.

Senarai penuh 28 pemain ialah S. Kumar, Muhammad Hairi Abd Rahman, Muhammad Hafizuddin Othaman, Muhamad Zaimi Mat Deris, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Muhammad Razie Abd Rahim, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Faiz Helmi Jali, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Najib Abu Hassan, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Muhammad Marhan Mohd Jalil.

Turut tersenarai Mohd Fitri Saari, Meor Muhamad Azuan Hassan, Mohamad Ashran Hamsani, Joel Samuel Van Huizen, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Muhammad Haziq Samsul, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Muhammad Firhan Ashari, Faizal Saari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Norsyafiq Sumantri, Muhammad Shahril Saabah, Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi. — Bernama

Komen anda