Romania singkir Republik Czech

209
Halep nadi kejayaan Romania ke atas Republik Czech pada aksi suku akhir Piala Fed.

Tampil sebagai pasukan bukan pilihan tidak menghalang Romania daripada melakar kejutan membenam Republik Czech pada kejohanan tenis berpasukan wanita Piala Fed.

Diketuai Simona Halep, Romania membuktikan status mereka sebagai pasukan bukan pilihan tidak wajar dipandang rendah apabila menang 3-2 ke atas penyandang juara itu dalam saingan suku akhir di Ostrava semalam.

Gandingan Irina Camelia Begu-Monica Niculescu muncul wira Romania apabila menge­jutkan juara Wimbledon dan Terbuka Perancis, Barbora Krejcikova-Katerina Siniakova 6-7 (2/7), 6-4, 6-4 dalam aksi yang hampir memakan masa tiga jam.

Selepas tewas pada set pertama, Begu dan Niculescu berjaya bangkit dalam dua set berikutnya bagi menghadiahkan mata ketiga yang juga mata kemenangan Romania.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada hari pertama saingan sebelum Halep menjadikan kedudukan 2-1 selepas melakar kemenangan ke atas bekas pemain nombor satu dunia, Karolina Pliskova 6-4, 5-7, 6-4.

Bagaimanapun, Republik Czech kembali mengikat kedudukan 2-2 selepas Siniakova menewaskan Mihaela Buzarnescu, sekali gus mengheret aksi penentuan dalam acara beregu wanita.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan dalam cabaran yang sengit ini. Ia adalah kejayaan terbaik saya dalam Piala Fed,” kata Halep yang juga juara Terbuka Perancis.

Pada aksi separuh akhir April depan, Romania akan menentang Perancis manakala Belarus bakal membuat perhitungan dengan pemenang antara Amerika Syarikat dan Australia dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Komen anda