Ronaldo ‘Brazil’ berikan pujian melambung kepada JDT

1830

BEKAS penyerang paling prolifik skuad kebangsaan Brazil, Ronaldo melambungkan pujian kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudi menjemputnya hadir menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Larkin baru-baru ini.

Bercakap di Instagramnya, Ronaldo yang juga pemenang anugerah Pemain Terbaik Dunia tiga kali merakamkan penghargaan di atas hospitaliti baik yang diberikan skuad Harimau Selatan sepanjang keberadaannya di Johor.

“Kembali semula ke Madrid selepas dua hari yang sibuk di Johor. Terima kasih @hrhcrownprinceofjohor di atas hospitaliti yang baik.

“Ia satu penghormatan dapat mengenali JDT di ACL dan mengetahui struktur hebat kelab ini, selain didedahkan dengan projek mereka yang akan datang,” katanya.

Dalam hantaran sama, Ronaldo turut memberi bayangan akan kembali semula ke bumi Johor sedikit masa lagi.

“Harap dapat kembali semula sedikit masa lagi,” katanya.

Ronaldo menjadi tetamu kehormat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, ketika perlawanan ACL membabitkan JDT dengan Gyeongnam FC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin pada Selasa, 12 Februari 2019.

Bekas pemain ‘galactico’ Real Madrid ini juga turut melawat fasiliti Harimau Selatan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam dan bilik persalinan pemain JDT di Stadium Larkin.

Komen anda