Rooney ke Derby County untuk kejar cita-cita sebagai pengurus

82

BEKAS bintang Manchester United Wayne Rooney akan kembali ke England dan menyertai kelab Liga Kejuaraan Inggeris Derby County sebagai pemain merangkap jurulatih pada Januari tahun depan.

Berita itu diumumkan Derby melalui laman sosial rasmi kelab semalam dengan Rooney menandatangani kontrak selama 18 bulan dan diberikan jersi nombor 32 di kelab itu.

Bekas kapten England itu juga mengakui gembira untuk bermain bersama Derby dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan pengurus pasukan, Philip Cocu.

Namun, pemain berusia 32 tahun itu belum boleh menyertai Derby untuk saingan liga musim ini sebaliknya perlu menghabiskan saingan Bola Sepak Major Amerika (MLS) bersama DC United musim ini.

“Terima kasih kepada Derby County kerana memberikan peluang ini kepada saya. Saya tidak sabar untuk bekerja dengan Cocu, jurulatih dan skuad utama kelab.

“Saya yakin dapat memberikan sumbangan besar dan bersemangat untuk memulakan karier kejurulatihan saya. Tak lupa juga saya ingin berterima kasih kepada DC United yang selama ini memberikan peluang buatnya bermain,” katanya.

Rooney juga mendedahkan keputusannya untuk menerima jawatan sebagai pemain dan jurulatih di Derby kerana mahu menjadi pengurus sama seperti bekas rakan sepasukannya dalam skuad England, Steven Gerrard dan Frank Lampard, yang meninggalkan Derby untuk menyertai Chelsea.

“Sudah pasti, kami semua mahu menjadi pengurus yang hebat, namun itu untuk masa akan datang. Fokus utama saya adalah untuk bermain dan belajar,” katanya.

Rooney menghabiskan sebahagian kariernya di United pada 2004 hingga 2017 dan menjadi penjaring terbanyak kelab dengan 253 gol.

Manakala, dalam saingan MLS, Rooney cemerlang dengan meledak 23 gol dalam 43 perlawanan buat DC United sejak berpindah pada 2018.

Komen anda