Rossi buru podium kedua di MotoGP Austin

86

LEGENDA MotoGP, Valentino Rossi semakin bersemangat memburu podium keduanya musim ini di Austin, Amerika Syarikat selepas muncul naib juara Grand Prix (GP) Argentina di Litar Termas de Rio Hondo, hujung bulan lalu.

Begitupun, Rossi menyedari dia dan barisan pencabarnya bakal berdepan tugas sukar apabila turun ke Circuit of the Americas (COTA) bagi mengharungi perlumbaan GP Amerika Syarikat.

Kebanyakan pelumba termasuk Rossi berpendapat COTA merupakan sebuah litar yang cukup teknikal dan mencabar dalam kalendar MotoGP itu.

Juara dunia, Marc Marquez daripada Repsol Honda muncul sebagai satu-satunya pelumba yang berjaya mendominasi COTA sejak penampilan pertamanya pada musim 2013.

Rossi yang menduduki tempat ketiga pada edisi 2015 sebelum muncul naib juara GP Amerika Syarikat 2017 kini mengintai peluang untuk sekali lagi menjejakkan kaki di podium.

“Ia satu perasaan yang cukup hebat apabila kembali berdiri di atas podium GP Argentina selepas penantian yang lama untuk saya, pasukan dan juga peminat.

“Kini kami perlu fokus bagi perlumbaan di Austin kerana ia antara litar yang paling sukar dan teknikal dalam MotoGP,” katanya.

Komen anda