Rossi pandang tinggi Vinales

305

Pelumba sensasi Movistar Yamaha MotoGP, Valentino Rossi mengakui dia sukar menyaingi catatan masa yang dilakukan bekas rakan sepasukannya, Maverick Vinales pada hari kedua sesi ujian pramusim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang semalam.

Vinales yang kini menunggang jentera Monster Energy Yamaha MotoGP berjaya mempamerkan tunggangan bertenaga apabila merekodkan catatan masa terpantas – satu minit 58.897 saat pada pusingan kedua terakhir daripada 63 pusingan dilakukannya.

Dia berjaya mengatasi rakan senegaranya, Alex Rins daripada Team Suzuki Ecstar yang sebelum itu mendahului kelompok pelumba dalam sesi tersebut selepas mencatat masa terpantas – 1:59.424s, hanya ketinggalan 0.527s di belakang Vinales.

Sebaliknya, Rossi yang juga juara dunia MotoGP enam kali sekadar mencatatkan masa keenam terpantas apabila ketinggalan 0.728s di belakang Vinales.

"Sudah tentu saya menggunakan tayar lama yang menyebabkan saya gagal mencatatkan masa yang lebih baik. Saya fikir saya mampu melakukan yang lebih baik dan sekurang-kurangnya berada dalam kelompok tiga pelumba teratas.

"Ia agak memalukan kerana setiap pelumba (yang berada di atas saya) mencatat masa yang hampir sama tetapi Maverick sukar dicabar. Saya sukar melakukan catatan yang hampir sama dengannya.

"Apa-apa pun, ia bukan perlumbaan sebenar hari ini (kelmarin) tetapi kami lebih kepada mendapatkan keselesaan menunggang jentera," jelas Rossi.

Secara keseluruhannya, Rossi tetap berpuas hati dengan prestasi jentera Yamaha, namun dia berpandangan, pasukannya masih perlu bekerja keras bagi menyaingi Honda dan Ducati.

"Pada pendapat saya, kami semakin hampir dengan pencabar lain tetapi itu masih beloum cukup. Hari ini (kelmarin) begitu kuat, saya tidak tahu tayar apa yang digunakan mereka tetapi mereka cukup pantas.

"Ini membuktikan kami masih kehilangan sesuatu tetapi kami berada di landasan yang betul, sedikit demi sedikit," tambahnya.

Sementara itu, Vinales menyifatkan Yamaha harus 'berdiri di atas kaki sendiri' kerana dia belum mendapat rentak sebenar pada sesi ujian tersebut.

"Kami harus memperbaiki beberapa kelemahan tetapi saya begitu gembira dengan apa yang telah dilakukan Yamaha setakat ini.

"Jika kami mampu meningkatkan kuasa enjin sedikit lagi, saya yakin kami mampu mencapai keputusan positif," ujarnya.

Komen anda