Sabah puas hati dapat ‘curi’ satu mata di Kota Bharu

532
Aksi di Kota Bharu yang berkesudahan Kelantan 3 - 3 Sabah. FOTO: KELANTAN FA

Oleh: MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD

JELIUS

KOTA BHARU – Jurulatih Sabah, Jelius Ating berpuas hati dengan satu mata diraih pasukannya ketika mengikat seri 3-3 dengan Kelantan dalam pertemuan Liga Premier di Kota Bharu, malam tadi.

Jelius berkata, keputusan seri itu sudah memadai biarpun pasukan kendaliannya pada suatu ketika hampir membawa pulang tiga mata sebelum dikecewakan gol penyamaan tuan rumah, lewat permainan.

“Kalau kita lihat perlawanan malam ini (tadi) cukup menghiburkan. Baik Kelantan atau pun Sabah, masing-masing sebenarnya berpeluang memenangi perlawanan ini.

“Tetapi apa yang positif, kedua-dua pasukan mempamerkan kesungguhan tinggi dan cuba mengatasi satu sama lain,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Jelas pengendali berusia 48 tahun itu lagi, pujian juga harus diberikan kepada barisan pemain skuad Tambadau itu apabila dua kali bangkit daripada ketinggalan, dalam pertemuan itu.

“Saya tidak pesan apa-apa kepada pemain kerana saya percaya dan tahu apa yang mereka perlu lakukan. Paling penting, bagaimana mereka bekerja keras dan berusaha hingga ke wisel terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, Jelius menjelaskan dia tidak panik sekali pun Sabah hanya sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan liga, setakat ini.

“Masih terlalu awal untuk menilai prestasi pasukan. Cuma apa yang saya lihat malam ini (tadi) ada sedikit peningkatan daripada segi kombinasi pemain import kami.

“Ketika persiapan pra musim ini, tiga pemain import kami tidak beraksi bersama pasukan. Jadi ini, baharu perlawanan kedua mereka tetapi saya puas hati dengan prestasi mereka,” katanya.

 

Komen anda