Sakit pinggang tidak jejas Kimberly raih emas

329

KECEDERAAN pinggang tidak menghalang penerjun negara, Kimberly Bong Qian Ping meraih pingat emas untuk Sarawak pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 yang berlangsung di Pusat Akuatik Tuanku Zara.

Gadis berusia 16 tahun dari Kuching itu, meraih emas dalam acara platform individu wanita selepas mengumpul 263.35 mata mengalahkan Koh Hui Yan dari Selangor dengan 236.55 mata, meraih pingat perak manakala pingat gangsa milik rakan sepasukannya, Eilisha Rania Abrial Rajagopal Francis dengan 227.70 mata.

Kimberly berkata kemenangan beliau pada hari ini menebus pencapaian pingat Perak yang dimenanginya pada temasya Sukma di Sarawak, dua tahun lepas namun masih tidak berpuas hati dengan persembahannya hari ini.

“Ya, saya gembira dapat pingat emas, tapi saya sendiri kurang berpuas hati dengan persembahan saya. Ada kesilapan yang saya lakukan ketika terjunan tadi sehingga menyebabkan pinggang saya bertambah sakit,” katanya yang akan berjumpa doktor di Institut Sukan Negara di Bukit Jalil untuk membuat rawatan susulan.

Mengenai persiapan untuk SUKMA kali ini, Kimberly berkata beliau berlatih di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Kuching selama dua minggu sebelum temasya bermula.

“Di sekolah (Sekolah Sukan Bukit Jalil) pun ada berlatih namun bagi mempersiapkan diri bagi SUKMA, saya pulang ke Sarawak serta berlatih enam kali seminggu, pagi dan petang,” katanya.

Katanya, selepas temasya ini, beliau akan mempersiapkan diri untuk Summer Youth Olympic Games 2018 di Buenos Aires, Argentina bagi acara 10m platform individu dan 3m papan anjal individu, bulan depan.

“Saya tidak sasar apa-apa pada sukan itu. Ianya sukan besar tetapi saya akan cuba sebaik mungkin,” katanya. – Bernama

Komen anda