Sambut Syawal di perantauan

155
Hakimi Ismail

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY

JAGUH lompat kijang negara, Hakimi Ismail terpaksa melupakan sambutan hari raya Aidilfitri bersama keluarga tahun ini selepas memilih untuk menyertai Grand Prix Asia di China yang bermula pada 4 hingga 7 Jun depan.

Menurutnya, tahun ini menjadi tahun ketiga berturut-turut buatnya beraya tanpa keluarga disisi dan beliau menganggap ia satu pengorbanan untuk negara.

“Sedih itu memang sedih terutama nak tinggalkan anak dan isteri, tapi nak buat macam mana apabila kejohanan besar itu berlangsung pada hari raya.

“Saya tetap akan cuba untuk memberi yang terbaik dan akan berusaha untuk layak ke Kejohanan Dunia walaupun nampak sukar namun bukan satu yang mustahil,” katanya yang sudah bertolak ke China 1 Januari lalu.

Kejohanan Grand Prix Asia di China menjadi tiket untuk Hakimi layak ke Kejohanan Olahraga Dunia di Doha September ini selain dalam persiapan mempertahankan emas di Sukan SEA Filipina.

Jelasnya lagi, pengorbanan yang dilakukannya itu juga sebagai salah satu usahanya untuk tidak mahu rasa kecewa sekiranya sudah bersara nanti dan tahu dirinya sudah memberikan yang terbaik untuk negara.

Sementara itu, Hakimi berkata, dia menyasarkan lompatan 16.50m pada kejohanan itu selain akan cuba menggunakan teknik baharu.

“Sekarang ini saya cuba teknik baru untuk lihat kesannya sama ada ia menjadi atau tidak selain jurulatih Ahmad Firdaus Salim banyak memberikan tunjuk ajar.

“Memang sebelum ini ada masalah sedikit dengan teknik lompatan apabila tidak konsisten namun kali ini saya harap teknik baru ini akan beri impak positif,” katanya yang perlu melakukan lompatan 16.95m untuk layak ke Kejohanan Dunia.

Komen anda