Sanchez yakin Spurs mampu bersaing

294

BENTENG pertahanan Tottenham Hotspur, Davinson Sanchez yakin Spurs bersedia untuk melengkapkan cabaran Liga Perdana walaupun tanpa kehadiran Harry Kane dan Dele Alli yang dibelenggu masalah kecederaan.

Sebaliknya tanpa kedua-dua tonggak itu, Spurs berjaya meraih tiga kemenangan berturut-turut untuk merapakan jurang mata ke atas pendahulu baharu, Manchester City dengan lima mata selepas 26 perlawanan sekali gus meletakkan mereka untuk terus bersaing merebut trofi liga bersama Liverpool yang kini di tangga kedua dengan berkongsi 62 mata bersama The Reds.

Sanchez percaya pemain seperti Son Heung-Min, Lucas Moura, Erik Lamela dan Fernando Llorente lebih daripada mengcukupi untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan dua tonggak utama itu.

"Sudah tentu Kane dan Alli adalah pemain penting, mereka tampil cemerlang bersama kami. Bagaimanapun kami masih memiliki ramai pemain yang boleh menyerang dan menghasilkan gol seperti Llorente, Heung-Min, Lucas dan Lamela.

"Apabila Kane beraksi, sukar untuk Llorente meraih banyak peluang tetapi kini ia adalah masa terbaik membuktikan kualiti di milikinya. Dia penting untuk pasukan, bukan sahaja musim ini tetapi juga musim lalu," katanya.

Heung-Min menjadi perhatian dalam beberapa minggu terakhir tatkala aksinya bersama Korea Selatan untuk Piala Asia menyebabkan dia terlepas tiga perlawanan buat Spurs dalam semua kejohanan.

Pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan sejak kembali dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kepentingannya bersama pasukan memberi kesan kepada Sanchez.

Komen anda