Sanggup tebus RM1 juta

29616
Foto: FB FAM

RODLY FADLY

PEMAIN tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat membayangkan bakal meninggalkan Kelantan dan sedia menebus kontrak berjumlah RM1 juta demi menyelamatkan kariernya ekoran kemelut berpanjangan yang melanda pasukan itu.

Begitupun, pemain berusia 20 tahun itu menegaskan, dia tidak akan terburu-buru untuk ‘angkat kaki’ walaupun boleh berbuat begitu apabila pintu perpindahan kedua dibuka pada 2 Mei hingga 29 Mei depan.

Sebaliknya, Nik Akif akan melihat terlebih dulu keadaan The Red Warriors (TRW) sehingga penghujung musim ini sebelum mengatur langkah seterusnya, apatah lagi dia masih terikat kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sehingga akhir tahun 2020.

“Situasi sekarang terutama isu tunggakan gaji memang merisaukan pemain. Ia diakui sedikit sebanyak menjejaskan semangat kami dan prestasi pasukan walaupun kami cuba untuk tidak terlalu memikirkannya.

“Kalau boleh, saya mahu menunggu sehingga kontrak habis pada hujung 2020 tapi jika keadaan ini berterusan, saya tidak menolak kemungkinan meninggalkan pasukan itu lebih awal.

“Saya sedia menebus kontrak saya berjumlah RM1 juta untuk berhijrah ke pasukan lain jika keadaan memaksa demi karier dan masa depan saya,” jelas Nik Akif.

Namun, jentera tengah skuad Bawah 23 tahun negara itu menolak spekulasi bahawa dia bakal meninggalkan skuad TRW pada tempoh perpindahan kedua bulan depan.

“Saya akui niat meninggalkan Kelantan memang terlintas di hati tapi bukanlah dalam masa terdekat. Saya tidak mahu terburu-buru dan perlu berfikir semasak-masaknya sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya akan lihat keadaan sehingga hujung musim, jika okay saya akan tunggu tapi jika sebaliknya, saya akan meninggalkan Kelantan musim depan walaupun terpaksa menebus kontrak,” katanya.

Kelantan kembali dihantui kemelut kewangan menyebabkan berlaku tunggakan gaji bulan Februari dan Mac sehingga memberi impak negatif kepada prestasi para pemainnya musim ini.

Skuad bimbingan Marko Kraljevic itu sekadar mencatat satu kemenangan, empat kali seri dan dua kekalahan selepas mengharungi tujuh perlawanan untuk mengutip tujuh mata serta menyaksikan mereka menghuni tangga kesembilan Liga Premier.

Juara treble musim 2012 itu turut tersingkir daripada saingan Piala FA apabila tewas 0-3 kepada Selangor pada pusingan kedua, minggu lalu.

Komen anda