Sapian Wahid ‘direhatkan’, B-21 MU bawa masuk ‘ubi muda’ Perlis

1180
Sapian (dua,kanan) direhatkan selepas B-21 MU tewas lima perlawanan berturut-turut. FOTO: MUSA

 

DISEBABKAN aksi hambar skuad bawah 21 tahun (B-21) Melaka United (MU), pihak pengurusan mengambil langkah drastik dengan merehatkan ketua jurulatihnya, Sapian Wahid.

Pengurus Pasukan B-21 MU, Mohd Ashiq Abd Samad berkata, buat masa ini tugas tersebut di ambil-alih pembantu jurulatih, Rashid Mahmud.

Katanya lagi, tidak hanya membabitkan bahagian kejurulatihan, pihaknya turut menggugurkan beberapa pemain B-21 yang tidak menunjukkan prestasi seperti yang diharapkan.

“Secara jujurnya, saya kecewa dengan keputusan perlawanan, lima kekalahan berturut-turut yang diraih amat teruk.

“Oleh itu, selepas mesyuarat tergempar yang diadakan semalam, semuanya sepakat untuk merehatkan Sapian dan digantikan Rashid, termasuk penguguran beberapa pemain bagi mengembalikan semula kecemerlangan pasukan,” katanya seperti dipetik Melaka Kini.

Tambahnya, pihak pengurusan turut membawa masuk empat bekas pemain B-21 Perlis untuk memperkuatkan pasukan.

“Semoga ada perubahan dan saya amat berharap tiada lagi rekod buruk berlaku, dalam masa sama pemain kekal bersemangat bermain demi lencana yang disarungkan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Ashiq turut menafikan khabar angin pasukannya berdepan masalah gaji sehingga mendorong aksi hambar apabila tewas kesemua lima perlawanan awal Piala Presiden sebelum ini.

Komen anda