Pengadil punca Chelsea tewas kepada Liverpool: Sarri

308

KEKALAHAN 0-2 kepada Liverpool membuatkan Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri terpanggil untuk mengkritik beberapa keputusan pengadil.

Dalam aksi di Anfield awal pagi semalam itu, The Blues tewas hasil jaringan Sadio Mane dan Mohamed Salah pada awal babak kedua.

Jelas Sarri, beliau mengakui pasukannya tidak layak memenangi perlawanan itu, namun, pada masa sama menilai pengadil, Michael Oliver turut melakukan beberapa kesalahan.

Antaranya, Sarri menganggap berlaku kekasaran kepada pemainnya sewaktu Liverpool menjaringkan gol pertama.

“Saya akui Liverpool layak menang. Tapi saya merasakan ada pelanggaran terhadap Emerson untuk gol pertama itu.

“Saya berada di bangku simpanan melihat itu sebagai pelanggaran. Tetapi tidak tahulah apa yang dilihat pengadil.

“Sayang sekali, Liga Perdana Inggeris berada di tahap paling tinggi dalam dunia, tetapi tidak pengadilnya.

“Saya fikir kualiti pengadil tidak seiring dengan prestij liga ini,” katanya.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Sarri mengkritik pengadil EPL.

Ketika Chelsea tewas kepada Tottenham Hotspur sebelum ini juga, pengurus dari Itali itu turut mempersoalkan keputusan pengadil perlawanan.

Komen anda