Sathia hormati Felda United, puji kebijaksanaan Nidzam Jamil

122
382195

Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan mengakui tugas berat menanti skuad kendaliannya menjelang pertemuan dengan Felda United di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, malam esok

Jelas Sathianathan, meskipun Felda United berada di tangga tercorot Liga Super, namun peningkatan ketara yang dipamerkan sejak akhir-akhir ini membuktikan mereka tidak boleh dipandang enteng.

Tambahnya, kebijaksanaan Mohd Nidzam Jamil dalam memanfaat serta mengeluarkan potensi terbaik The Fighters biarpun pada awalnya serba kekurangan juga wajar diberi pujian apatah lagi berjaya memacu pasukan mara ke separuh akhir Piala FA musim ini.

"Felda United membuktikan mereka bukan lawan mudah kerana mampu menang ke atas Kedah di separuh akhir kedua Piala FA minggu lalu. Bukan mudah untuk mana-mana pasukan menewaskan Kedah yang menjadi antara pasukan terkuat musim ini.

"Saya juga masih ingat Felda tewaskan kita di Shah Alam dan menghentikan perjalanan Selangor di Piala FA. Walaupun pada awalnya dilihat serba kekurangan, namun pasukan di bawah kendalian Nidzam Jamil menunjukkan peningkatan demi peningkatan.

"Yang penting jangan sesekali anggap status pasukan tercorot liga bermakna Felda pasukan belasahan. Biasanya pasukan seperti inilah yang akan cipta kejutan dan mampu menyukarkan lawan mereka. Oleh sebab itu, kami perlu lebih menghormati Felda United," katanya.

Sathianathan bagaimanapun menjelaskan rasa hormat itu bukanlah bermakna Selangor akan hadir ke Jengka secara sambil lewa dan menganggap aksi ini sekadar cukupkan syarat.

Sebaliknya, beliau tetap mengharapkan tiga mata penuh akan dibawa pulang kerana misi beliau dan pasukan kini terarah kepada usaha merampas kedudukan naib juara Liga Super musim ini.

Komen anda