‘Saya bagus sebab Messi’

106

BINTANG Juventus, Cristiano Ronaldo mengakui ‘permusuhannya’ dengan kapten Barcelona, Lionel Messi menjadikan dia seorang pemain bola sepak yang hebat.

Ronaldo dan Messi merupakan pemain yang sering menjadi tumpuan dalam 11 tahun terakhir ini apabila masing-masing memenangi lima anugerah Ballons d’Or sebelum dominasi mereka disekat perancang Real Madrid, Luka Modric pada 2018.

Kedua-dua mereka juga menjadi tajuk utama media Sepanyol sejak lebih sedekad lalu sebelum Ronaldo mengambil keputusan berhijrah ke Juventus tahun lalu.

“Saya tidak meragui bahawa permusuhan ini menyebabkan kami berdua bertambah bagus di atas padang. Ia permusuhan yang bagus dalam bola sepak.

“Messi juga pernah menyatakan kekecewaan ketika saya meninggalkan La Liga kerana saya merupakan pesaing utamanya untuk dia menjadi lebih baik,” kata Ronaldo.

Messi membantu Barcelona menjulang enam kejuaraan liga berbanding dua dimiliki Ronaldo ketika bersama Real. Bagaimanapun, Ronaldo lebih unggul di pentas Eropah apabila membantu Real memenangi empat trofi Liga Juara-Juara berbanding dua yang dimenangi Messi bersama kelab Catalan itu ketika ini.

“Memang tiada keraguan lagi bahawa Messi menjadikan saya lebih baik dan sebaliknya. Apabila saya menang trofi, ia pasti menyakitinya dan perkara sama terjadi kepada saya jika dia menang.

Ronaldo memberitahu, dia mempunyai hubungan profesional yang baik dengan Messi dan tidak pernah bergaduh dengan bintang Argentina itu.

“Saya mempunyai hubungan profesional yang baik kerana kami sudah berkongsi perkara yang sama selama 15 tahun,” katanya.

Komen anda