‘Saya bukan sengaja jatuh’ – Perkongsian Zaquan tentang kecacatan kekal dialaminya bikin sebak

45215
FOTO: FAM

PEMAIN kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak memuat naik satu hantaran menarik di Instagram bagi menjelaskan kritikan yang dilemparkan penyokong-penyokong negara.

Sebelum ini, rata-rata penyokong Harimau Malaya bengang dengan aksi Zaquan yang dianggap terlalu mudah merebahkan badannya ketika beraksi bersama negara dan juga kelab.

Zaquan mendedahkan, tindakan itu bukanlah sengaja dilakukan, sebaliknya ia terjadi kerana kecacatan kekal yang dialaminya selepas melalui empat pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

“Sepanjang karier saya bermain bola selama ini, saya pernah empat kali menjalani pembedahan di lutut dan tangan. Jika ada yang mempersoalkan kenapa saya sering jatuh di padang inilah sebenarnya yang terpaksa saya lalui.

“Apabila seorang atlet mengalami kecederaan ACL, ia dianggap satu kecacatan kekal dan mungkin menyebabkan keseimbangan badan tidak begitu baik. Itu yang menyebabkan saya sering jatuh.

“Tapi apapun, Alhamdulillah saya bersyukur ALLAH sentiasa beri kekuatan dan rezeki kepada saya untuk terus bermain sekarang,” katanya.

Perkongsian Zaquan di Instagramnya.

Pada masa sama, Zaquan turut memberi nasihat kepada mana-mana atlet yang mengalami ACL agar tidak mudah patah semangat.

“Alhamdulillah, bukan riak tetapi saya ingin berkongsi kepada semua dan rakan.. Saya bukanlah pemain bola yang hebat tetapi saya tahu saya mempunyai semangat yang kuat dan dikelilingi keluarga yang sentiasa berada di kala saya jatuh.

“Kepada rakan atau sesiapa sahaja atlet yang mengalami kecederaan, tolong jangan give up. Percaya pada rezeki dan kuatkan semangat anda.

“Saya pernah dikritil supaya bersara main bola, tetapi saya yakin rezeki itu datang dari ALLAH dan saya percaya ia satu amanah untuk saya. Sebab itu saya tidak akan berputus asa kerana orang yang berputus asa adalah mereka yang gagal,” katanya lagi.

Komen anda