‘Saya fokus diri sendiri’

205

Muka baharu pasukan Sauber, Antonio Giovinazzi tidak mahu dibandingkan dengan Charles Leclerc apabila membuat penampilan sulung pada perlumbaan Formula 1 (F1) musim ini.
Sauber membuat keputusan melamar pemandu berusia 25 tahun dari Itali itu bagi menggantikan tempat Leclerc yang menyertai pasukan gergasi, Ferrari.
Dianggap antara permata baharu dalam F1, Ferrari tidak menunggu lama untuk menyambar Leclerc, 21, bagi menggantikan pemandu berpengalaman, Kimi Raikkonen yang kembali menyertai pasukan Sauber.
Ketua Ferrari, Maurizio Arrivabene sebelum ini telah memaklumkan bahawa pihaknya telah menandatangani kontrak selama empat tahun dengan pemandu muda kelahiran Perancis itu.
Situasi itu sekali gus membuka peluang buat Giovinazzi untuk menjadi salah seorang pemandu utama pasukan Sauber musim ini, bergandingan bersama Raikkonen, juara dunia F1 musim 2007.
"Saya tidak banyak bercakap dengannya (Leclerc) tentang perpindahan ini, saya hanya mahu fokus terhadap diri sendiri. Sasaran saya adalah melakukan yang terbaik selagi ada kemampuan dan bukannya mengulangi atau memperbaiki pencapaian Charles.
"Saya akan bergandingan dengan rakan sepasukan baharu (Raikkonen) dan ia berbeza pula dengan Charles (yang bergandingan dengan Marcus Ericsson). Semuanya akan menjadi berbeza dan saya harap jentera kami lebih pantas mulai Grand Prix Australia di Melbourne Mac depan," kata Giovinazzi.
Sauber dilihat agak bergelut dengan prestasi pada awal musim lalu. Namun, mereka berjaya bangkit sehingga menempatkan diri dalam kelompok 10 pasukan terbaik pada penghujung musim. Kejayaan itu banyak disumbangkan oleh Leclerc seterusnya mendapat perhatian Ferrari.
Giovinazzi menegaskan, dia tidak akan terlalu mengambil serius jika ada pihak yang membandingkannya dengan Leclerc.
"Ramai pemandu muda telah membuktikan kemampuan mereka apabila berada dalam pasukan utama seperti (Max) Verstappen. Pierre (Gasly) pula akan bersama Verstappen di Red Bull, begitu juga dengan Charles.
"Ia sesuatu yang positif apabila melihat pemandu muda dapat melakukan tugas mereka dengan baik bersama pasukan utama. Ini (2019) merupakan musim pertama saya, jadi sasaran saya untuk memperbaiki kemampuan diri sendiri," katanya.

Komen anda