‘Saya hanya fokus diri sendiri’

106

Muka baharu Alfa Romeo Racing, Antonio Giovinazzi tidak mahu dibandingkan dengan Charles Leclerc apabila membuat penampilan sulung pada perlumbaan Formula 1 (F1) musim ini.

Alfa Romeo Racing yang sebelum ini dikenali Sauber membuat keputusan melamar pemandu berusia 25 tahun dari Itali itu bagi menggantikan tempat Leclerc yang menyertai pasukan gergasi, Ferrari.

Situasi itu sekali gus membuka peluang buat Giovinazzi menjadi salah seorang pemandu utama Alfa Romeo Racing musim ini – bergandingan bersama Kimi Raikkonen, juara dunia F1 musim 2007.

“Saya tidak banyak bercakap dengannya (Leclerc) tentang perpindahan ini, saya hanya mahu fokus terhadap diri sendiri. Sasaran saya adalah melakukan yang terbaik selagi ada kemampuan dan bukannya mengulangi atau memperbaiki pencapaian Charles.

“Saya akan bergandingan dengan rakan sepasukan baharu (Raikkonen) dan ia berbeza pula dengan Charles (yang bergandingan dengan Sebastian Vettel).

“Semuanya akan menjadi berbeza dan saya harap jentera kami lebih pantas mulai perlumbaan di Melbourne,” kata Giovinazzi yang menjadi pemandu ujian Ferrari musim lalu.

Giovinazzi menegaskan, dia tidak mahu terlalu mengambil serius jika ada sesetengah pihak yang membandingkannya dengan Leclerc atau mana-mana pemandu muda lain.

“Ramai pemandu muda telah membuktikan kemampuan mereka apabila berada dalam pasukan utama.

“Ia sesuatu yang positif apabila melihat mereka dapat melakukan tugas dengan baik. Ini (2019) merupakan musim pertama saya, jadi sasaran saya untuk memperbaiki kemampuan diri sendiri,” katanya.

Komen anda