‘Saya profesional jalankan tugas’

92
Megat D Shahriman Zaharudin

PRESIDEN Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menegaskan beliau akan melaksanakan tugasnya sebagai Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Para ASEAN Ke-10 Filipina 2020 secara profesional.

Calon presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) itu berkata, beliau hanya akan fokus kepada tanggungjawab selaku ketua kontinjen ke temasya sukan berkenaan tanpa dibayangi isu berkaitan pemilihan MPM yang sebelum ini berdepan pelbagai kontroversi sehingga menyebabkan mesyuarat agung tahunan (AGM) ditangguhkan.

“Saya hanya akan fokus kepada tugasan sebagai CDM… yang lain-lain saya ‘lupa’,” katanya kepada media selepas mengadakan mesyuarat bersama pengurus sukan Para ASEAN Ke-10 Filipina 2020 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, di sini hari ini.

Sebelum ini, Megat Shahriman menyelar badan induk itu kerana memutuskan untuk menangguhkan AGM bagi memilih anggota exco baharu untuk penggal 2019-2023.

Tambahnya, beliau bersikap terbuka dan yakin dapat bekerjasama dengan persatuan sukan para kebangsaan untuk kelancaran persiapan kontinjen ke temasya Para ASEAN yang dijadualkan awal tahun depan.

“Ketepikan yang lain-lain. Kepentingan negara dan kontinjen lebih utama pada ketika ini,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat bersama pengurus sukan, Megat Shariman menjelaskan pihaknya menerima banyak ‘input’ dan akan meneliti serta memperhalusi permohonan setiap pasukan bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

“Setakat ini, kami dimaklumkan sebanyak 13 sukan sudah memulakan latihan sepenuhnya di Pusat Kecemerlangan Paralimpik ini. Kami harap sebelum September ini, semua sukan terutama acara berpasukan seperti bola sepak akan dapat menjalani latihan sepenuhnya di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Shahriman mengakui sudah berasa bahang tekanan walaupun mesyuarat pertama bersama pengurus pasukan baru diadakan hari ini.

Katanya, semua pihak termasuk atlet, MPM, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) perlu bekerja keras memandangkan prestasi kebanyakan negara yang bertanding terutama Indonesia kini semakin melonjak.

“Jangan terkejut dengan kebangkitan mereka dan sebab itu, kita kena kerja berganda kali kuat untuk capai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, Megat Shahriman menegaskan masih terlalu awal untuk menetapkan sasaran pingat kontinjen negara.

Komen anda