‘Saya tak boleh beri jaminan’ – Cheng Hoe

265
FOTO: FAM

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan bahawa tidak ada jaminan untuk barisan pemain yang sama akan dikekalkan untuk aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, September depan.

Ujar Cheng Hoe, meskipun skuad yang dipilih kali ini mencipta sensasi dengan membelasah Timor Leste 12-2 secara agregat, namun beliau tetap mahu memantau pemain-pemain lain yang beraksi di Liga Malaysia.

Jelasnya, ini kerana lawan yang akan menanti di pusingan kedua yang akan berlangsung tiga bulan dari sekrang adalah jauh lebih sukar daripada apa yang mereka hadapi baru-baru ini.

"Selepas ini kita akan jumpa lawan yang jauh lebih baik daripada kita. Sebab itu saya beri nasihat kepada pemain-pemain untuk lebih bersedia dengan peringkat seterusnya.

"Kami yakin peringkat selepas tidak mudah memandangkan kita akan jumpa negara-negara seperti Iran, Korea, Jepun, Arab Saudi dan Qatar. Jadi pemain kena bersedia untuk hadapi tekanan yang lebih kuat daripada pasukan-pasukan besar ini.

"Pada masa sama, saya juga akan terus memantau pemain lain yang ada dalam liga kerana saya perlu katakan bahawa tiada jaminan 23 atau 25 pemain yang dipanggil untuk kem kebangsaan baru-baru ini akan dikekalkan," katanya.

Mengulas prestasi keseluruhan anak buahnya di pusingan pertama kempen kelayakan ini, Cheng Hoe mengakui berpuas hati, namun pada masa sama beliau menegaskan ada beberapa perkara perlu diperbaiki di masa akan datang.

"Saya berpuas hati sasaran kita untuk melepasi pusingan pertama tercapai. Secara keseluruhan, prestasi berpasukan kita agak baik kerana pemain telah mengikut perancangan dan menyesuaikan diri dengan corak permainan.

"Tetapi dalam bola sepak, sudah pasti akan ada kesilapan-kesilapan individu yang pemain lakukan, sama seperti aksi menentang Timor Leste ini. Bagaimanapun saya yakin kesilapan individu boleh diperbaiki.

"Yang penting ialah pemain perlu terus belajar dan kekal konsisten ketika kembali ke kelab masing-masing. Kita masih berada dalam fasa pembelajaran dan saya harap di peringkat yang lebih besar nanti, kita dapat mempelajari lebih banyak perkara dalam usaha untuk terus berkembang," katanya lagi.

Dalam aksi timbal balik menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, Malaysia terus berpesta gol dengan kemenangan 5-1 hasil ledakan hatrik Shahrel Fikri Md Fauzi dan masing-masing satu gol oleh Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid, sekali gus memberi kemenangan besar 12-2 buat negara secara agregat.

Undian untuk pusingan kedua Kelayakan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dijadual berlangsung di Doha, Qatar pada 17 Julai depan.

Komen anda