‘Saya tak menyesal kembali ke F1’ – Kubica

222

 

Robert Kubica menjelaskan beliau sedikit pun tidak menyesal kembali beraksi dalam saingan Formula 1 (F1), meski pun pasukannya, Williams bermula buruk pada perlumbaan pembuka tirai di Melbourne.

 

Pelumba berusia 34 tahun yang meninggalkan F1 pada 2010 gara-gara kecederaan parah yang hampir meragut nyawanya dahulu sekadar menamatkan saingan di tangga ke-17 di Australia.

 

Lebih buruk lagi, jentera FW42 yang dipandunya itu dianggap sebagai jentera paling lemah dalam saingan musim ini.

 

“Tidak (menyesal). Ini kerana pada akhirnya saya ambil keputusan untuk kembali beraksi selepas berfikir selama enam minggu tahun lalu.

 

“Saya tahu ia akan jadi sukar untuk kembali mencabar pelumba lain seperti era terdahulu memandangkan sukan ini sudah berkembang pesat. Saya juga tahu ianya tugas sukar untuk Williams, tetapi saya tidak jangka untuk datang ke Australia dalam keadaan tidak bersedia.

 

“Bukan disebabkan kekurangan fizikal, tetapi ia lebih kepada kurang memandu jentera ini di sesi pra musim,” katanya.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak pernah berputus asa dan akan terus bekerja keras dan berusaha untuk perlumbaan akan datang.

 

“Saya harap saya tidak akan menyesal. Walaupun saya bergelut di Australia, saya masih menikmati perlumbaan ini yang mana ini satu perubahan besar berbanding suatu masa dahulu.

 

“Saya bukan seorang yang emosional, tetapi selepas menamatkan perlumbaan tempoh hari, saya berasa seperti satu pencapaian besar. Jadi, saya akan terus berusaha keras selepas ini,” katanya.

 

Komen anda