‘Saya tidak begitu gembira Malaysian Tigers kalah kesemua empat perlawanan di Tokyo’

140
Subahan Kamal

PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal jelas tidak berpuas hati dengan persembahan hambar Malaysian Tigers yang tewas dalam kesemua empat perlawanan pada Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berakhir di Tokyo hari ini.

Beliau menjelaskan alasan kepenatan setelah kembali daripada Siri Jelajah Eropah, baru-baru ini merupakan satu alasan yang tidak boleh diterima, memandangkan pengendali skuad negara, Roelant Oltmans telah menggunakan tujuh muka baharu di Tokyo.

Justeru, beliau telah meminta Oltmans untuk menurunkan barisan terbaik dan bukannya pasukan ujian apabila beraksi dalam beberapa aksi persahabatan di Korea Selatan, bulan depan sebelum mengharungi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijangka berlangsung antara Oktober dan November nanti.

“Saya tidak begitu gembira dengan keputusan ini (kalah kesemua empat perlawanan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Tiga Nadi anjuran Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, dekat sini, hari ini.

Untuk rekod, Malaysia kalah kepada pasukan ranking kelima dunia, India dengan keputusan 6-0 pada 17 Ogos lalu, Jepun (1-3) pada 18 Ogos, sebelum tumpas dengan jaringan sama (1-3) kepada pasukan ranking kelapan dunia, New Zealand pada aksi terakhir pusingan awal kejohanan ujian berkenaan, semalam.

Malaysia menamatkan cabaran di tangga tercorot daripada empat pasukan setelah diaibkan dengan kekalahan 1-6 kepada Jepun pada aksi penentuan ketiga/keempat kejohanan ujian berkenaan yang berlangsung di Stadium Hoki Oi, Tokyo.

Skuad Malaysian Tigers sebelum ini berkelana ke benua Eropah selama tiga minggu, dengan menyertai sembilan perlawanan yang menyaksikan mereka mencatat tiga kemenangan, satu keputusan seri, dan lima kekalahan.

Program Nadi Tiga dianjurkan oleh Akademi Sukan UPM dengan kerjasama Persatuan Hoki Selangor, bertujuan menyediakan latihan yang mantap untuk jurulatih, ibu bapa, atlet dan pegawai sukan untuk dilatih dalam tiga bidang utama, iaitu pengurusan, pemakanan dan psikologi sukan.

Komen anda