Segera selesaikan masalah stadium

221

PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) perlu menyelesaikan masalah padang di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bagi memastikan ia tidak mengundang risiko kecederaan kepada pemain.

Tindakan segera juga perlu dilakukan memandangkan stadium itu dijadualkan menganjur Liga Hoki Malaysia 2019 bermula 11 Januari hingga 3 Mac, diikuti kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, iaitu Siri Hoki Final bermula 26 April hingga 4 Mei.

Selain tuan rumah, Malaysia, saingan Siri Hoki Final turut disertai Austria, Kanada, Itali, Wales, Vanuatu, China serta Brazil, dan dua pasukan teratas pada kejohanan berkenaan akan mara ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2020.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata pihaknya memandang serius masalah itu dan mahukan penyelesaian segera, berikutan keadaan padang itu yang dilihat berisiko tinggi menyebabkan kecederaan kepada para pemain.

"Saya akan mengarahkan PSM sama ada menerusi perjumpaan atau panggilan telefon, tetapi apa yang penting ialah masalah ini mesti diselesaikan atau ditangani dengan kadar segera," katanya

Untuk makluman, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan bahawa, walaupun sudah hampir setahun sejak pihaknya menulis kepada PSM, masalah itu tidak dapat diselesaikan oleh badan yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara stadium itu.

"PSM sebelum ini pernah menutup padang itu untuk kerja-kerja membaik pulih, tetapi masalah itu, yang berlarutan sejak padang itu yang digantikan sempena Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu, tidak dapat diselesaikan," ujar Subahan.

Komen anda