Selamat tinggal Atletico

226
Griezmann sah tinggalkan Atletico akhir musim ini.

PENYERANG sensasi, Antoine Griezmann akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan Atletico Madrid penghujung musim ini.

Perkara itu disahkan melalui laman sosial rasmi Atletico semalam selepas hanya setahun menandatangani kontrak baharu dengan pasukan itu.

"Antoine Griezmann telah memaklumkan kepada kelab bahawa dia tidak akan terus menjadi pemain Atletico musim depan." kata laman media sosial rasmi Atletico.

Griezmann masih mempunyai kontrak sehingga 2023 namun mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya sekali gus kembali dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.

Pemain kebangsaan Perancis itu dalam sebuah rancangan khas turut mengumumkan keputusannya keluar dari Atletico.

"Lima tahun yang berlalu cukup luar biasa.

"Terima kasih di atas segala-galanya, ia akan tersemat di hati saya." katanya.

Griezmann muncul nama besar ketiga yang menuju pintu keluar Atletico pada akhir musim ini sambil mereka sah akan mengakhiri kempen LaLiga di belakang juara, Barcelona.

Rakan sepasukannya di kem Perancis, Lucas Hernandez, bakal menyertai Bayern Munich sementara pertahanan, Diego Godin, dijangka akan beralih ke kancah Serie A dengan menyertai Inter.

Pemain berusia 28 tahun itu telah mencetak 133 gol dalam 252 penampilan bersama Atletico. Dia turut membantu Los Colchoneros memenangi gelaran juara Liga Europa pada 2017 dan Piala Super Eropa 2018.

Komen anda