Selangor seharusnya kenduri gol

168
Ifedayo Omosuyi antara import baharu dibawa masuk The Red Giants dalam memantapkan saingan pasukan bagi baki perlawanan Liga-M musim ini.

SELANGOR seharusnya merasai nikmat kenduri gol seandainya jentera serangan berjaya menyudahkan sekurang-kurangnya tujuh peluang terhidang pada aksi menentang Kedah di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Pengendalinya, B Sathianathan berkata, melihat kepada peluang yang ada pasukannya seharusnya menamatkan perlawanan dengan kemenangan yang besar mengatasi pelawat.

“Kami memiliki sekurang-kurangnya tujuh peluang menjaringkan gol, bola terkena tiang, palang selain gerakan penyudah melalui serangan balas yang sedikit tumpul.

“Kalau tidak Kedah mungkin akan kena tujuh gol, kami kurang berkesan bila melakukan serangan balas, bagi saya jika ia dimanfaatkan sepenuhnya sudah pasti banyak gol akan terhasil,” ujarnya pada media selepas perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, Selangor mengatasi Kedah 3-1 hasil ledakan hatrik pemain import baharu, Ifedayo Olusegun yang menjaringkan gol pada minit ke-34, 45 dan 57 manakala gol tunggal pelawat terhasil melalui Fernando Rodriguez Ortega minit ke-67.

Mengenai prestasi sulung dipamerkan Ifedayo yang meledak tiga gol, Sathianathan percaya lebih banyak lagi mampu dilakukan bekas penyerang Felda dan Melaka United ini.

“Ini bukan aksi terbaik dia, saya mahukan yang lebih bukan sahaja memegang bola tetapi kecergasan, dia mampu buat yang lebih baik.

“Pada masa sama saya juga tidak mahu tugas menjaringkan gol terletak di bahunya sahaja, rakan sepasukan yang lain juga perlu memikul tanggungjawab bagi memastikan kemenangan pasukan,” katanya.

Sathianathan juga masih kurang berpuas hati dengan aksi anak didiknya apabila melepaskan satu gol yang berpunca dari sepakan penjuru.

“Ini kelemahan kita, apabila mendahului 2-0 atau 3-0, saya lihat pemain sedikit kelam kabut, seharusnya kita perlu mengawal bola dan konsisten, bukannya gelabah.

“Menang tiga gol berdepan Kedah yang memiliki pertahanan mantap ketika ini bukanlah satu tugas mudah dan kami berjaya melakukannya, walaupun menang 1-0 saya puas hati dengan tiga mata yang diraih,” jelasnya.

 

Komen anda