Semangat Aaron-Wooi Yik kian membara

275
KEJAYAAN muncul naib juara Seluruh England 2019 membuktikan gandingan beregu badminton lelaki muda negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik bukan calang-calang pemain.
Mengakui kejayaan mara ke final Seluruh England baru-baru ini sebagai batu loncatan, Aaron- Wooi Yik mahu terus melangkah ke depan dan saingan Terbuka Malaysia 2019 bulan depan adalah sasaran mereka yang seterusnya.
“Kami harap dalam Terbuka Malaysia 2019, saya dan Wooi Yik masih dapat teruskan rentak cemerlang. Begitu juga tahap keyakinan kami dalam gelanggang yang saya harap akan terus konsisten,” kata Aaron ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Bagaimanapun, Aaron berkata, dia dan Wooi Yik tidak boleh lalai berdasarkan undian lawan yang menanti mereka padaTerbuka Malaysia kali ini.
“Undian agak sukar kerana kami akan berjumpa pasangan Jepun (Hiroyuki Endo- Yuta Watanabe) pada pusingan kedua. Kalau mara ke suku akhir, laluan juga dijangka agak berliku.
“Kalau boleh saya sasarkan sekurang-kurangnya mara sehingga separuh akhir, namun sudah tentu kami tetap menyimpan cita-cita untuk menggengam kejuaraan itu nanti,” tambah Aaron.
Dalam pusingan pertama, Aaron- Wooi Yik di jadualkan bertemu gandingan England, Marcus Ellis- Chris Langridge dan sekiranya mara, menanti mereka pada pusingan kedua adalah pilihan keempat yang juga naib juara Terbuka Malaysia tahun lalu, Endo-Watanabe atau satu lagi pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Pemain-pemain lain yang bakal membawa cabaran negara dalam Terbuka Malaysia kali ini adalah Lee Zii Jia, Goh Jin Wei, Soniia Cheah, Ong Yew Sin- Teo Ee Yi, Chow Mei Kuan- Lee Meng Yean, Vivian Hoo- Yap Cheng Wen, Goh Soon Huat- Shevon Jemie Lai, Chen Tang Jie- Peck Yen Wei dan Tan Kian Meng- Lai Pei Jing.
Pemain profesional negara yang akan turun membawa cabaran pula adalah Liew Daren, Goh V Shem- Tan Wee Kiong, Arif Latif- Azriyn Ayub dan Chan Peng Soon- Goh Liu Ying. Merupakan sebahagian daripada Siri Jelajah Dunia BWF, Terbuka Malaysia 2019 akan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil dari 2 hingga 7 April.

Komen anda