Semangat Kane berkobar

21
Kane menjadi sandaran Spurs bagi menggempur kubu City.

Harry Kane bertekad membayangi kelibat rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan England, Raheem Sterling apabila Tottenham Hotspur membuat perhitungan dengan Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad tengah malam esok.

Selepas berehat panjang ekoran kecederaan buku lali yang dialami musim lalu, Kane memulakan kempen EPL 2019/2020 dengan langkah bergaya apabila merekodkan dua gol bagi membantu Spurs membenam Aston Villa 3-1 pada penghujung minggu lalu.

Bagaimanapun, dua gol pada aksi sulung EPL itu masih belum cukup untuk meletakkan Kane sebagai pendahulu senarai penjaring apabila Sterling meledak hatrik ketika membantu City meraih kemenangan 5-0 ke atas West Ham.

“Saya bercuti selama empat minggu, ia satu tempoh yang agak lama sejak beberapa tahun lalu. Saya kini lebih bersedia bagi mengharungi musim baharu yang pastinya menjanjikan saingan lebih sengit.

“Setakat ini, saya mengharungi aksi pramusim yang baik. Namun, saya masih perlu meningkatkan kecergasan dan beberapa perkara lain bagi mengukur kemampuan sebenar saya," kata Kane.

Selepas memenangi anugerah Kasut Emas Piala Dunia 2018 di Rusia, Kane dipalit kecederaan buku lali sebelum kembali membuat penampilan pada aksi final Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid Jun lalu.

Dia juga mendapat kepercayaan membarisi skuad The Three Lions ketika menentang Belanda pada aksi separuh akhir Liga Negara-Negara. Namun, kapten England itu dilihat kurang memberi impak pada kedua-dua aksi tersebut.

Justeru, menjelang pertemuan menentang City yang tampil selaku penyandang juara dua musim berturut-turut, Kane memberi amaran bahawa Spurs tidak boleh ketinggalan terlalu awal jika mahu mencabar gelaran EPL musim ini.

“Kami harus memastikan segala-galanya bermula dengan baik. Apa yang penting, kami harus meraih kemenangan selama mungkin. Saya mempunyai keyakinan tinggi untuk terus melangkah jauh tetapi perjalanan kami masih panjang," ujarnya.

Komen anda