‘Semua perlu bertanggungjawab’ – Tan Cheng Hoe

4791

 

Tewas 0-1 kepada Singapura dalam saingan Piala Airmarine di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam menyaksikan Harimau Malaya gagal mencapai sasaran mara ke final kejohanan sulung itu.

 

Ketua Jurulatih negara Tan Cheng Hoe mengakui kekalahan tipis kepada pasukan jiran itu agak mengecewakan, namun beliau memilih untuk tidak memberikan sebarang alasan.

 

Jelasnya, kegagalan (mara ke final) itu tidak perlu dipikul beliau seorang, sebaliknya semua perlu bertanggungjawab tanpa perlu menyalahkan mana-mana individu.

 

“Dalam mana-mana kejohanan sebagai jurulatih kita memang mahukan kejayaan. Bagi saya jika ada kejayaan ia milik bersama, dan jika kalah kita juga kena bertanggungjawab bersama.

 

“Tidak seharusnya jurulatih sahaja dipertanggungjawabkan (bila tewas). Ya, memang pemilihan pemain itu tugas saya, tapi dalam situasi ini semua kena beri komitmen penuh jika mahu capai yang terbaik.

 

“Kalau tanya, memang saya tak puas hati dan kecewa. Tapi dalam bola sepak, sebagai jurulatih saya perlu kekal positif dan melupakan apa yang berlaku. Jika kita kalah dan asyik beri seribu satu alasan, sampai bila-bila pasukan kita masih di situ,” katanya.

 

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut mempertahankan percaturannya memasukkan Ahmad Hazwan Bakri menggantikan Syazwan Zainon di separuh masa kedua, meski pun mengetahui tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu masih belum pernah mendapat minit bermain di kelabnya musim ini.

 

“Kenapa bukan Faiz Nasir? Bagi saya posisi yang saya mahukan pada waktu itu agak berlainan yang mana Faiz lebih sesuai bermain di posisi nombor 10.

 

“Hazwan sudah terlepas banyak perlawanan, jadi saya rasa untuk posisi itu dia boleh beri banyak impak kepada pemain negara pada waktu itu,” katanya lagi.

 

Komen anda