Sikap segelintir senior bikin junior terkeluar radar

88

KEWUJUDAN ‘unsur negatif’ dalam bilik persalinan pemain senior sedikit sebanyak menjejaskan prestasi Harimau Malaya, dakwa Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Peter de Roo.

De Roo berkata, ramai pemain muda memiliki tahap mental yang betul selain memiliki potensi besar untuk bersinar tetapi gagal untuk terus mempamerkan prestasi positif dan disiplin selepas mereka menyertai skuad senior.

Sesetengah pemain senior menunjukkan contoh buruk dan ini membuatkan pemain muda yang berbakat mencontohi tabiat buruk mereka, dan ini adalah antara sebab yang membuatkan pemain junior akhirnya ‘terkeluar dari radar’

“Ini akan membuatkan beberapa orang tidak senang hati tetapi saya fikir masalah pemain bola sepak senior di Malaysia terletak pada bilik persalinan…budaya dalam bilik persalinan dan apa maknanya menjadi seorang pemain profesional, hidup sebagai seorang profesional, selain mempunyai disiplin.

“Ramai pemain dari skuad senior yang anda kenal mempunyai banyak wang tetapi mereka menjadi sedikit malas disebabkan gaya hidup mereka, dan itu bukanlah contoh yang baik untuk pemain muda…betul tak” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran “DNA Bola Sepak Malaysia” kelmarin.

Bagaimanapun, de Roo mengakui bahawa sesetengah pemain muda dalam skuad senior mempunyai jati diri yang kental.

Beliau berkata, sudah tiba masanya penekanan harus diberikan kepada kepentingan bilik persalinan dan juga untuk mempersiapkan pemain muda untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam lingkungan empat dinding bilik persalinan itu.

“Sebahagian daripada mereka (pemain muda) telah bersedia untuk itu…sesetengahnya sangat berbakat dan secara tiba-tiba mereka menghilang kerana mereka sukar menghadapi keadaan itu dan kita tidak mempersiapkan mereka dengan secukupnya.

“Jadi, saya fikir kita perlu melakukan lebih baik lagi untuk mempersiapkan para pemain muda kita untuk menghadapi suasana di bilik persalinan pemain senior. Pastikan anda menunjukkan contoh teladan yang baik untuk diikuti, pastikan anda mencontohi pemain-pemain yang betul, pastikan bahawa apa jua yang terjadi, sama ada dari segi jumlah jaringan gol ataupun tidak bermain – berpeganglah kepada apa yang anda yakini,” tambah beliau.

Pada majlis pelancaran sulungnya kelmarin, FAM melancarkan DNA bola sepak kebangsaan sebagai rujukan semua pihak untuk memahami corak permainan selaras dengan acuan sendiri.

Komen anda