Silva kekal di Etihad hingga 2025

352
PEMAIN tengah Manchester City, Bernardo Silva mendapat hadiah paling bermakna untuk prestasi terbaiknya musim ini apabila City melanjutkan kontraknya sehingga 2025.

Selepas mengalami kesulitan musim debutnya dengan City, Silva mula menjadi aset penting buat skuad kendalian Pep Guardiola setelah Kevin De Bruyne dibelenggu kecederaan sekaligus menjadikan pemain berusia 24 tahun itu sebagai pilihan pertama di bahagian tengah.

Sehingga kini Silva telah muncul 40 kali dengan menjaringkan sembilan gol dan 10 bantuan gol yang turut menunjukkan peningkatan purata masa bermain kepada 77.5 minit berbanding 53 minit musim lalu dan statistik itu telah menyamai musim lalu daripada 53 perlawanan.

Peningkatan prestasi Silva ini membuatkan City berpuas hati dan tidak mahu khidmatnya dipancing kelab lain dengan memperbaharui kontrak pemain Portugis itu yang sebenarnya masih berbaki sehingga 2022 di mana Silva mendapat tambahan tiga tahun untuk terus kekal di Stadium Etihad hingga 2025.

“Apabila saya mendengar bahawa City mahu mengikat saya lebih lama, saya cepat membuat keputusan itu, saya suka kelab, pengurus, pemain dan peminat.

“Gaya permainan kami membuat saya gembira, dan saya bertekad untuk memenangi lebih banyak trofi. City memberi saya peluang terbaik untuk mendapatkannya.

“Saya sangat teruja dengan kontrak baharu dari Manchester City. Kelab ini memberikan segalanya kepada pemain untuk mencapai cita-citanya dan saya tidak mahu berpindah ke mana-mana,” katanya menerusi laman web rasmi kelab itu.

Komen anda