Simeone salahkan diri sendiri; hati Griezmann hancur, luluh…

716

KEKALAHAN 0-3 Atletico Madrid di tangan Juventus menamatkan perjalanan mereka di Liga Juara-juara apabila tersingkir dengan agregat 2-3.

Pengurus Atletico, Diego Simeone menyifatkan kekalahan itu tidak sepatutnya berlaku dan menyalahkan diri sendiri sepenuhnya.

“Kami melakukan banyak kesilapan. Maksud saya, kesilapan itu dari pihak saya, bukan pemain. Juventus bermain lebih baik secara taktikal. Itu sebabnya mereka memenangi perlawanan dan melangkah ke suku akhir.

“Tidak perlu dinafikan mereka layak mara. Mereka menekan kami sejak dari awal hingga kami hilang semuanya dan terpaksa tewas seperti ini,” katanya.

Sementara itu, bintang Atletico, Antoine Griezmann antara yang paling kecewa dengan kegagalan pasukannya melangkah ke suku akhir biar pun selesa mendahului 2-0 tanpa balas.

“Kami terlalu teruk dan sukar memberikan cabaran. Kami memilih hari yang salah untuk tewas seperti ini.

“Kami semua melakukan kesilapan. Kami tidak dapat melakukan aksi sama seperti di laman sendiri tempoh hari dan tidak dapat memperbaiki segala kekurangan di separuh masa kedua. Itu menggambarkan segala-galanya,” katanya.

Komen anda