Singapura beranikan diri pertaruh ‘muka baharu’ lawan Oman di final

1012

 

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Singapura, Nazri Nasir menyifatkan kejayaan menundukkan Malaysia 1-0 dan mara ke final satu pencapaian yang cukup membanggakan sebagai individu yang baru sahaja memimpin pasukan itu.

 

Dalam aksi separuh akhir Piala Airmarine semalam, Singapura menang hasil jaringan tunggal Faris Ramli pada minit ke-82.

Namun, Nazri enggan berpuas hati dengan kejayaan itu, sebaliknya bertekad untuk terus bereksperimen dengan sesuatu yang baharu menjelang aksi final bertemu Oman pada Sabtu.

 

Walaupun menyedari tugas berat menanti dalam perlawanan menentang lawan yang berada di ranking yang jauh lebih tinggi itu, namun beliau memilih untuk tidak berada di zon selesa dan akan mencuba kudrat baharu dalam kesebelasan utama.

 

“Saya berfikir untuk menurunkan pemain yang tidak beraksi menentang Malaysia dalam perlawanan itu. Mungkin melakukan dalam enam perubahan menurunkan pemain baharu.

 

“Bila dapat peluang bertemu pasukan yang jauh lebih kuat seperti Oman, saya mahu pemain-pemain yang diturunkan nanti dapat satu pengalaman yang berharga.

 

“Jadi, sudah tentu saya berharap pemain-pemain yang terpilih ini bersedia kerana peluang ini bukan senang untuk diberikan. Saya juga perlu merancang sesuatu untuk aksi itu,” katanya.

 

 

 

Komen anda