SIPMA 2019: Aqil tewaskan Speedy Jantan

156
Dari kiri, Muhammad Zulfiqar, Aqil dan Khairul Hafiz ketika bersaing sengit hingga ke garisan penamat acara 100m pada temasya SIPMA di UKM.

GELARAN Raja Pecut Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2019 menjadi milik pelari pecut Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Muhammad Aqil Yasmin selepas mengetepikan pemegang rekod kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan dari kontinjen Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) pada aksi sengit di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi di sini, semalam.

The Speedy Jantan pemegang rekod kebangsaan 100 meter dengan catatan 10.18 saat ternyata masih bergelut dengan prestasi masih mencari momentum selepas Kejohanan Olahraga Kebangsaan, sebaliknya Muhammad Aqil yang juga Raja Pecut Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Myanmar pada Disember lalu kelihatan lebih bersedia memberi impak pada kali ini.

Muhammad Aqil merangkul emas manakala Khairul Hafiz meraih perak walaupun kedua-dua pelari mencatat masa 10.76 saat selepas keputusan photofinish yang mengesahkan Muhammad Aqil sebagai pemenang manakala pingat gangsa milik pelari MSSM, Muhammad Zulfiqar Ismail dengan catatan masa 10.78 saat.

Sementara itu, gelaran Ratu Pecut SIPMA 2019 menjadi milik pelari kelahiran Terengganu, Azreen Nabila Alias yang mewakili MSSM dengan catatan masa 12.39 saat manakala perak menjadi milik pelari MSSM juga, Chelsea Cassiopea dengan masa 12.49 saat diikuti gangsa pelari Majlis Sukan IPTS Malaysia (MASISWA), S Shameta Iliana Raj.

Ini kali kedua Aqil dan Azreen dinobatkan selaku raja dan ratu pecut dalam tempoh dua tahun selepas mendominasi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak.

Komen anda