Siri Final FIH: Malaysian Tigers akur kehebatan Kanada

290

Foto: FB MHC

MALAYSIAN Tigers terpaksa akur tewas 2-3 kepada Kanada dalam aksi akhir Siri Final FIH di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sekaligus muncul naib juara.

 

Turun menentang pasukan di ranking ke-10 dunia, tuan rumah mempamerkan aksi bertenaga, namun kegagalan menyudahkan deretan peluang menyebabkan skuad negara terpaksa berpuas hati apabila sekadar muncul kedua terbaik kejohanan.

 

Skuad negara bermula garang apabila mendahului 1-0 seawal minit ke-8 hasil jaringan padang Muhammad Firhan Ashari menerusi satu gerakan cantik.

Namun Kanada kemudiannya menyamakan kedudukan  hasil pukulan sudut penalti Scott Tupper pada minit ke-20  sebelum menambah satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti Brenden Bissett minit ke-22.

 

Ketinggalan satu gol tidak melemahkan semangat Malaysian Tigers, sebaliknya menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan, namun penalti stroke yang diperoleh di penghujung suku kedua gagal disempurnakan Fitri Saari untuk kedudukan 2-1 kekal hingga berakhir babak pertama.

 

Pada babak kedua, Kanada menambah lagi tekanan kepada skuad negara apabila menambah satu lagi gol melalui James Kirkpatrick minit ke-43 untuk kedudukan 3-1.

 

Malaysian Tigers yang cuba bangkit menyaingi lawan terus hampa apabila pukulan sudut penalti sekali lagi gagal diterjemahkan Faizal Saari pada minit ke-51.

 

Namun, Tengku Tajuddin merapatkan jurang menjadi 2-3 hasil gol padang selepas dia berjaya membuat tampanan mudah di hadapan gol lawan pada minit ke-53.

Sementara itu, mengulas aksi pemainnya pada final, Ketua Jurulatih Malaysian Tigers, Roelant Oltmans berkata, “Saya masih tidak percaya yang kita gagal menang dalam aksi akhir tadi.”

 

“Kami terlepas beberapa peluang dan dua pukulan penalti stroke gagal dijaringkan. Peluang untuk menang memang ada tapi kita tidak menggunakannya. Inilah hoki, kita terpaksa menerima kekalahan ini,”kata Roelant selepas perlawanan.

 

Perlawanan penentuan tempat ke-3/4 yang berlangsung pada petang tadi pula dimenangi Itali apabila mereka menang tipis 2-1 mengatasi Austria.

 

Kedua-dua pasukan hanya menjaringkan gol di suku terakhir perlawanan. Gol Itali dijaringkan oleh Francois Sior melalui gol padang pada minit ke-47. Namun Austria menyamakan kedudukan menjadi 1-1 melalui gol padang Patrick Schmidt pada minit ke-49. Kedudukan seri itu tidak bertahan lama apabila Thomas Keenan menjaringkan gol kemenangan Itali menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-49.  – sumber Malaysia Hockey Confederation

 

 

KEPUTUSAN PENUH:

 

Final

 

Kanada 3-2 Malaysia

 

Penentuan tempat ke-3/4

 

Itali 2-1 Austria

Komen anda