Siri Final FIH: Malaysian Tigress tewas tipis

159

Foto: FB MHC

MALAYSIAN Tigress memulakan kempen kumpulan A Siri Final FIH langkah kiri apabila tewas tipis 2-1 kepada Ireland pada aksi pembukaan di Banbridge, Ireland Utara, malam semalam.

 

Biarpun gagal mengutip mata, pujian harus diberikan kepada skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang menampilkan aksi  memberangsangkan serta memberi saingan sengit kepada naib juara Piala Dunia 2018 itu.

 

Irealand, selaku pasukan ranking kelapan dunia, melakukan kejutan seawal minit keempat apabila Bethany Baar membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti.

 

Bagaimanapun, gol awal itu tidak mematahkan semangat skuad Malaysian Tigress serta mampu melakukan serangan balas sehingga berakhir babak pertama.

 

Dalam babak kedua, tuan rumah menggandakan jaringan menerusi gol padang oleh Kathryn Mullan pada minit ke-39 sebelum skuad negara merapatkan jaringan menerusi Siti Zulaikha Hussin pada minit ke-55.

 

Selain Ireland dan Malaysia dengan ranking 22 dunia, kumpulan itu disertai oleh Republik Czech (19) dan pasukan ranking ke-35 dunia, Singapura.

 

Malaysia akan menentang Republik Czech pada jam 12 tengah malam ini waktu Malaysia dan melengkapkan saingan kumpulan dengan menentang Singapura, Selasa depan.

 

Kejohanan ini misi penting  negara cuba melakar sejarah layak ke Sukan Olimpik buat pertama kali dalam 40 tahun di mana skuad negara tidak pernah layak sejak acara hoki wanita dipertandingkan pada edisi 1980 di Moscow.

 

Pada kejohanan ini, skuad negara perlu meraih dua tempat teratas dalam kejohanan yang disertai oleh lapan pasukan untuk layak ke pusingan kelayakan terakhir ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Oktober dan November ini.

Komen anda