Siri Final FIH: Pertembungan 50-50

376
Foto: FB Malaysian Hockey Confederation

ZURAIMEE ZAINAL

MALAYSIA’  hanya selangkah lagi untuk menempah tiket akhir Kejohanan Hoki Siri Final FIH 2019 selepas membenam cabaran Wales 2-1 pada aksi playoff (crossover) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

 

Juara Kumpulan A, Austria yang tidak perlu mengerah keringat beraksi pada peringkat crossover akan menjadi halangan terbaharu Malaysian Tigers dalam misi memburu tiket final.

 

Biarpun atas kertas Malaysia dilihat memiliki kelebihan berdasarkan kedudukan ranking dunia, Kapten Malaysian Tigers, Mohamad Sukri Abdul Mutalib tetap menganggap pertembungan antara kedua-dua pasukan 50-50.

 

“Kami belum pernah menentang Austria sebelum ini tapi saya yakin corak permainan mereka tidak kurang beza dengan Wales yang pastinya mengamalkan permainan fizikal yang memberikan kelebihan kepada mereka.

 

“Untuk perlawanan menentang Austria, saya menyifatkan peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50,” kata tonggak pertahanan berusia 33 tahun itu selepas tamat perlawanan kelmarin.

 

Pada masa sama, Sukri juga menuntut setiap jentera Malaysian Tigers dapat mengekalkan corak permainan sama seperti ketika menumbangkan Wales sebelum ini.

 

Dalam pada itu, Sukri berharap penyokong tempatan hadir ke stadium bagi membarakan lagi semangat Malaysian Tigers dalam misi menumbangkan pasukan dari benua Eropah itu biarpun sebelum ini skuad negara dikritik hebat ekoran kekalahan mengejut kepada Itali pada aksi terakhir Kumpulan B.

 

“Semua pemain inginkan kemenangan tiada siapa yang mahukan kekalahan. Namun, kritikan adalah lumrah dalam setiap acara sukan, kami sedia dikritik kerana kritikan itu yang membuatkan kami lebih bersemangat berikan terbaik untuk negara.

 

“Apa yang kami harapkan penyokong Malaysian Tigers teruskan memberikan sokongan padu kepada kami biarpun dalam menang atau kalah,” kata pemain kelahiran Perak itu.

 

Sementara itu, pengendali negara, Roelant Oltmans akan memantapkan lagi jentera serangan kerana menyedari Austria mempunyai barisan pertahanan yang mantap apabila sekadar melepaskan dua gol pada kejohanan kali ini.

 

“Kemantapan benteng pertahanan Austria terbukti apabila apabila gawang mereka bolos paling sedikit ketika saingan peringkat Kumpulan A. Jadi barisan serangan harus lebih efektif apabila berdepan Austria nanti,” ujarnya.

 

Bagi  Faizal Saari yang mengakui selesa dengan peranan baharu yang diberikan Oltmans, dia berharap Malaysian Tigers dapat meneruskan momentum kemenangan seperti mereka mengalahkan Wales.

 

“Semua pasukan mahu memburu impian beraksi di pentas Sukan Olimpik ketika ini, begitu juga Austria yang beraksi cemerlang pada peringkat kumpulan.

 

“Kita sudah berjaya melepasi halangan Wales, tinggal Austria sahaja lagi. Jadi kita perlu berjuang berhabisan-habisan,” ujarnya.

Komen anda