Siri Jelajah Eropah: Malaysian Tigers mengaum lagi pada Jemputan Empat Negara

95

Foto: MHC

MALAYSIAN Tigers ternyata memanfaatkan peluang beraksi dalam Siri Jelajah Eropah apabila mempamerkan prestasi cemerlang sekepas memperoleh kemenangan 2-1 ke atas Ireland pada saingan Kejohanan Jemputan Empat Negara, malam tadi.

 

 

Pada aksi di Terrassa, Sepanyol itu, skuad bimbingan ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans berbalas jaringan gol dengan pasukan ke-11 dunia itu pada minit kesembilan.

 

 

Malaysia memperoleh jaringan padang melalui pemain tengah, Mohd Fitri Saari ketika skuad negara ketinggalan 0-1 selepas Ireland mendapat gol hasil pukulan sudut penalti bintang hoki Ireland, Shane O’Donoghue.

 

 

Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri 1-1.

 

 

Masuk babak kedua, pemain pertahanan negara, Muhammad Razie Abd Rahim menggandakan jaringan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-33.

 

 

Keputusan 2-1 yang berpihak kepada Malaysian Tigers itu kekal sehingga wisel penamat ditiup.

 

 

Untuk rekod, pada Jumaat, skuad negara mengejutkan tuan rumah, Sepanyol 4-3 pada aksi pembukaan Kejohanan Jemputan Empat Negara dan dijadualkan berdepan dengan pasukan nombor enam dunia, England, Ahad ini.

 

 

Selain kejohanan tersebut, skuad Malaysian Tigers akan mengadakan perlawanan ujian menentang Belanda pada 6 dan 8 Ogos, diikuti Belgium pada 10 dan 12 Ogos ini.

 

 

Pada perlawanan ujian pertama dalam Siri Jelajah Eropah, minggu lepas, skuad negara melakukan kejutan besar apabila buat kali pertamanya berjaya menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012 serta juara dunia, Jerman, 4-2 di Krefeld, Jerman.

 

 

Siri Jelajah Eropah tersebut merupakan antara program MHC untuk persediaan menghadapi pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 Tokyo, November ini.

 

 

Malaysia dijangka berdepan satu daripada empat negara – Jerman, Sepanyol, New Zealand dan Kanada — pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 nanti.

Komen anda