Skuasy kebangsaan: Rachel mara final selepas kejutkan Sivasangari

88

PEMAIN skuasy wanita negara, Rachel Arnold meraih kejayaan bermakna apabila mengejutkan juara bertahan S. Sivasangari di Kejohanan Skuasy Kebangsaan yang berlangsung di Arena Skuasy Nicol David Bukit Jalil.

 

 

Bagaimanapun, Rachel dipaksa bermandi peluh sebelum berjaya menjinakkan juara Terbuka Australia dengan kemenangan tipis 3-2 untuk mara ke final, sekaligus menidakkan peluang Sivasangari untuk mempertahankan kejuaraan.

 

 

Rachel yang bimbang akan prestasi ‘terumbang-ambing’ sebelum ini, mengakui tidak menduga berjaya melangkah ke pentas final meskipun berdepan saingan sengit pada babak separuh akhir hari ini.

 

 

“Untuk beberapa ketika, saya tak fikir pernah mengalahkan dia (Sivasangari) dalam mana- mana perlawanan dan saya tahu, Sivasangari sentiasa memberi aksi terbaiknya.

 

“Ini juga kemenangan yang sangat bernilai pada saya selepas berdepan pencapaian yang terumbang ambing sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

 

Pemain yang berada di ranking ke-46 dunia itu bakal berdepan pilihan utama kejohanan Low Wee Wern yang sebelum itu menewaskan Chan Yiwen 11-8, 7-11, 11-3, 11-6 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

 

“Keadaan fizikal dan mental saya berada di tahap terbaik. Saya bersedia menghadapi saingan final nanti, tidak kira siapa pun lawan saya, saya hanya akan fokus pada permainan saya,” katanya.

 

Sementara itu, juara bertahan kategori lelaki, Ivan Yuen menepati ramalan apabila mara ke pentas final selepas menewaskan Darren Rahul Pragasm dengan 13-11, 11-9, 11-9.

 

 

Juara edisi 2017 dan 2018 itu bakal berdepan Ng Eain Yow di pentas akhir yang dijadualkan jam 8 malam ini.

Komen anda