Skuasy Remaja Dunia: Tiga pemain utama negara lolos suku akhir

54

DUA pemain wanita — Aifa Azman dan Chan Yiwen dan seorang pemain lelaki negara – Siow Yee Xian berjaya melangkah ke saingan suku akhir Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2019 di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di sini, semalam.

 

Aifa, 17, selaku juara Terbuka Remaja British tiga kali, tidak menghadapi masalah apabila dengan mudah mengetepikan pemain Hong Kong, Kristie Wong, 11-2, 11-3, 11-2 untuk bertemu dengan pemain England, Elise Lazarus, hari ini.

 

 

Bagaimanapun, adiknya, Aira, 14, gagal meneruskan kemaraan apabila tewas kepada pemain Mesir, Farida Mohamed, 12-10, 12-10, 11-8 dalam pertarungan selama 27 minit.

 

 

Dalam pada itu, Yiwen, yang juga juara remaja Asia dua kali, terpaksa berhempas pulas sebelum mengalahkan pemain Mesir, Sana Ibrahim 11-8, 8-11, 11-7, 11-7 untuk menentang Farida di saingan suku akhir.

 

 

Dalam pada itu, Yee Xian menjadi wakil tunggal lelaki negara dalam saingan suku akhir apabila mengalahkan pemain Amerika Syarika, Nicholas Spizzirri 11-6, 11-6, 11-7 sementara Adam Agan Aziz yang melakukan penampilan sulung terpaksa bertarung selama 70 minit sebelum tumpas kepada pemain Liechtenstein, David Maier 8-11,12-10, 8-11,11-6, 16-14.

 

 

Turut menerima nasib sama ialah Duncan Lee yang kalah kepada pemain Kanada, James Flynn 7-11, 2-11, 11-8, 2-11.

Komen anda