Skuasy Terbuka Manchester: Nicol bermula langkah kanan

99

RATU skuasy negara Datuk Nicol David memulakan saingan Kejohanan Skuasy Terbuka Manchester di England, Khamis (Jumaat di Malaysia) dengan langkah kanan, apabila beliau berjaya mara ke pusingan kedua.

Juara dunia lapan kali mencatatkan kemenangan 11-5, 11-6 dan 11-8 dalam masa hanya 23 minit menewaskan pemain muda dari Amerika Syarikat, Haley Mendez dalam pusingan pertama di National Squash Centre di Manchester, menurut laman web kejohanan; www.manchester.squashsite.com.

“Saya gembira dapat bermain dengan Haley di Manchester – saya kenal lama dengannya, sejak saya tinggal di rumahnya semasa kejohanan di Brooklyn Heights. Saya kenal dia sejak dia berumur 10 atau 11 tahun, jadi peluang untuk datang ke sini dan bermain dengan dia amat menyeronokkan, dia bermain dengan baik, saya terpaksa bekerja keras untuk menang,” kata Nicol.

“Saya ada banyak kenangan manis di Manchester, selepas bertanding dalam Sukan Komanwel di sini pada 2002, dan banyak lagi kejohanan lain, banyak kenangan manis,” kata pemain berumur 35 tahun dari Pulau Pinang itu yang memutuskan untuk bersara di penghujung musim ini.

Nicol akan bertemu dengan pemain pilihan ketiga, Sarah-Jane Perry dari England dalam pusingan kedua Jumaat. Sarah mendapat ‘bye’ di pusingan pertama.

Komen anda