Solskjaer yakin Fred kembali menyerlah

777

PENGURUS sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer masih menaruh keyakinan jentera tengahnya Fred akan kembali bersinar selepas penampilan hambar.

Fred menjadi pemain United yang paling mahal musim ini dengan bayaran perpindahan berjumlah 50 juta pound dari Shakhtar Donetsk ke Old Trafford, namun musim sulung bintang Brazil itu dengan The Red Devils tidak berjalan lancar.

Sepanjang musim ini, dia hanya muncul dalam 10 pertandingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan sumbangan satu gol.

Situasinya juga semakin tidak memberangsangkan sejak Solskjaer mula membimbing Red Devils apabila Fred hanya diberikan tiga kali peluang beraksi.

Begitupun keadaan Fred tidak begitu membimbangkan Solskjaer, sebaliknya bekas bintang United itu optimis pemain itu akan kembali menyerlah.

“Apa yang diperkatakan itu salah kerana saya fikir ini bukan satu cabaran bagi saya sebaliknya perlu terus berusaha untuk berada dalam pasukan, sekiranya mereka sudah bersedia pastinya peluang itu akan hadir begitu juga dengan Fred, dia telah bekerja keras dalam latihan, dia adalah pemain yang baik.

“Ia sama dengan Andreas Pereira dan Scott McTominay, apabila mereka mendapat peluang (untuk muncul), mereka pasti akan beraksi, kami mahu melihat ada peningkatan dan kami harapkan Fred dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan EPL kerana bakatnya tidak perlu diragui,” jelasnya di laman rasmi The Red Devils.

Solskjaer turut menyifatkan sebagai pemain baru agak sukar buat Fred untuk menyesuaikan diri pada permulaan ketibaannya kerana permintaan dan tekanan sangat tinggi untuk berada dalam skuad utama United.

Komen anda