Solskjaer belum panik, yakin Manchester United akhiri saingan kelompok terbaik

312
MANCHESTER United tersingkir daripada kelompok empat teratas carta Liga Perdana Inggeris apabila tumpas 0-2 kepada Arsenal di Stadium Emirates awal pagi tadi.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, The Gunners bermula cemerlang apabila terlebih dahulu di depan seawal minit ke-12 menerusi jaringan jarak jauh Granit Xhaka yang gagal dibendung David de Gea bagi mendahului babak pertama 1-0.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus agresif berusaha melebarkan jurang gol mendapat sepakan penalti yang kemudiannya disempurnakan Pierre-Emerick Aubameyang pada minit 69 sekaligus gol kemenangan pasukannya.

Kekalahan pertama The Red Devils itu menyaksikan mereka tergelincir ke kedudukan kelima liga selepas mengumpul 58 mata daripada 30 perlawanan, dua mata di belakang Arsenal di tangga keempat dan tiga mata dari Tottenham Hotspur dikedudukan ketiga.

Manakala Chelsea yang melakarkan keputusan seri tanpa jaringan menentang Wolverhampton kelmarin, kini mengintai kedudukan terbaik setelah memiliki kelebihan baki satu perlawanan apabila mengutip 57 mata di tangga keenam selepas 29 perlawanan.

Pengurus Sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun mengakui masih belum panik dan tidak bimbang kekalahan pertama berkenaan.

“Saingan semakin sengit dan saya tidak fikir ada ketegangan lagi. Spurs kalah, kami kalah, Chelsea seri, jadi pertandingan berlangsung hingga minggu depan dan beberapa minggu terakhir.

“Kami masih ada peluang untuk berada dalam kelompok terbaik, kami hanya dipisahkan dua mata dari kedudukan empat, tiga mata daripada tempat ketiga yang merupakan kedudukan yang baik,” kata jurulatih berasal dari Norway itu.

Komen anda