Solskjaer: Ini baru permulaan

83

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menghamburkan pujian kepada pemainnya selepas mencatatkan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, kelmarin.

Menurutnya, persembahan terpuji pemain The Red Devils terutamanya pada babak kedua membolehkan gergasi liga Inggeris itu bermula cemerlang aksi pertama liga musim ini.

“Separuh masa kedua sangat menakjubkan. Pertahanan cukup teratur dan serangan balas yang menjadi. Mungkin boleh dikatakan gol penalti itu kami bernasib baik dan selepas itu kami berjaya menjaringkan tiga gol lagi.

“Kecergasan pemain menjadi faktor kemenangan malam ini. Pemain juga bekerja keras, tetapi ini baru permulaan dan kami perlu terus memantapkan pasukan selepas ini,” katanya.

Pada perlawanan itu, Marcus Rashford meledak dua gol pada minit ke-18’ dan 67’ dan masing-masing satu gol daripada Anthony Martial (65’) dan Daniel James (81’).

Solskjaer pada masa sama, turut memuji gandingan jentera serangannya Rashford dan Martial yang disifatkan berfungsi cukup efektif dalam merobek gawang The Blues.

“Saya percaya Rashford sudah menunjukkan peningkatan prestasi. Lihatlah tubuhnya sekarang dia mampu mengharungi banyak perlawanan musim ini.

“Musim lalu dia bergelut masalah pergelangan kakinya, jadi musim ini saya menaruh harapan lebih tinggi ke atasnya, bahkan terhadap keseluruhan skuad. Kami semakin cergas dan kami bertambah mantap.

“Martial pula menunjukkan kualitinya sebagai penyerang. Namun, saya harap dia pamer lebih keinginan jaringkan gol,” katanya.

Kejayaan membenam Blues itu antara kemenangan terbesar selepas menang jumlah sama pada Mac 1965 ketika Red Devils di bawah kendalian Sir Matt Busby.

Komen anda