Son Heung-min tekad bantu Spurs akhiri penantian 35 tahun kejohanan Eropah

143

KALI terakhir Tottenham Hotspur melangkah ke separuh akhir kejohanan Eropah ialah pada 1984 dan selepas 35 tahun, mereka hanya selangkah sahaja lagi untuk mengakhiri penantian tersebut.

Justeru, tonggak penting Spurs, Son Heung-min bertekad untuk merealisasikan harapan ini menjelang pertemuan timbal balik suku akhir Liga Juara-juara (UCL) awal pagi Khamis nanti.

Heung-min berkata, pasukannya yang kini berkelebihan agregat satu gol tanpa balas mungkin dianggap sebagai pasukan bukan pilihan untuk aksi di Etihad, namun dia percaya pengurusnya, Mauricio Pochettino sudah menyediakan ramuan terbaik untuk perlawanan penting itu.

“Kami tahu betapa sukarnya untuk menentang Manchester City, tetapi saya percaya jika kami bermain sebagai satu pasukan dan percaya kepada diri sendiri, kami akan mendapat keputusan terbaik,” katanya.

Mengulas peranan penting sebagai yang diberikan kepadanya selepas kehilangan khidmat penyerang berbisa, Harry Kane, Heung-min enggan memberikan janji-janji manis, sebaliknya beliau hanya mahu fokus kepada perlawanan dan memberikan yang terbaik.

“Saya hanya mahu menikmati bola sepak. Bukan hanya saya, tetapi semua pemain juga mahu menikmati perlawanan, menjaringkan gol dan menang.

“Dalam situasi sekarang, saya tidak mahu meletakkan tekanan yang terlalu tinggi.

“Bagi saya, sampai ke tahap ini (suku akhir) sudah cukup untuk dianggap sebagai momen indah kami sebagai pemain dan juga untuk kelab,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Heung-min turut mengeluarkan sisi-sisi kemanusiaannya apabila dilaporkan menderma hampir RM540,000 kepada mangsa kebakaran di negara kelahirannya, Korea Selatan yang telah mengorbankan dua nyawa dan membuat ratusan yang lain hilang tempat tinggal.

Komen anda